suria

2 rakyat Malaysia cedera dalam gempa bumi di Taiwan

Seorang mangsa rakyat Malaysia yang tercedera (baju merah) dibantu pasukan penyelamat di Taman Negara Taroko, Hualien, Taiwan. FOTO: AFP.

GEMPA bumi berukuran 6.1 magnitud melanda Taiwan pada Khamis, ujar Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS).

Ia menyebabkan berlakunya gangguan lalu lintas dan mencederakan 17 individu.

Selain di ibu kota Taipei, ia turut dirasai di seluruh pulau itu serta lebuh raya yang menghubungkan Yilan dan Hualien ditutup.

Seorang pegawai di jabatan bomba daerah Hualien memberitahu AFP bahawa dua orang cedera akibat dihempap batu.

Agensi Kebakaran Kebangsaan berkata, seorang pelancong lelaki Malaysia, telah dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal selepas mengalami serangan jantung, patah kaki dan cedera di kepala.

Wisma Putra turut mengesahkan perkara itu.

Sebelum itu, media Taiwan, China Press melaporkan dua rakyat Malaysia cedera dalam bencana alam berkenaan.

Pelancong wanita itu cedera di kepala kerana terkena batu yang jatuh manakala pelancong lelaki itu pula terperangkap di bawah runtuhan di Laluan Lushui di taman nasional itu.

Selain itu, sistem metro Taipei turut ditutup sejam untuk pemeriksaan keselamatan.

Pentadbiran Keretapi Taiwan juga menunda beberapa perkhidmatannya di pantai timur selama beberapa jam, kata pegawai terlibat.

Gempa melanda pada 1.01 malam waktu tempatan pada kedalaman 19 kilometer (11.8 batu) di daera Hualien timur.

Hualien yang menjadi lokasi pelancongan terkenal turut dilanda gempa bumi 6.4 magnitud tahun lalu yang membunuh 17 orang dan mencederakan hampir 300 orang. - The Star.

gempa bumi, Taiwan

Artikel Lain