HARGA bahan api RON97 turun sebanyak satu sen seliter, manakala harga RON95 dan diesel kekal bermula Sabtu. Kementerian Kewangan berkata harga RON97 turun daripada harga RM2.81 seliter kepada RM2.80 seliter. Harga petrol RON95 dan diesel kekal pada harga RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter. Kementerian Kewangan berkata harga petrol RON97 baharu akan berkuat kuasa dari 12.01 pagi Sabtu (4 Mei) sehingga 10 Mei. Katanya di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga RON95 perlu RM2.50 seliter manakala diesel pada RM2.47 seliter dalam tempoh yang sama. "Bagaimanapun, harga RON95 dan diesel untuk tempoh ini kekal pada RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter masing-masing, selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga produk petroleum dan mengurangkan kos hidup rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Anggaran subsidi yang ditanggung oleh kerajaan dari 4 Mei hingga 10 Mei berjumlah RM130.45 juta. Mekanisme penetapan harga bahan api mingguan diperkenalkan pada 5 Januari di bawah APM. Di bawah sistem ini, harga bahan api mingguan diumumkan setiap hari Jumaat dan berkuat kuasa selama seminggu.