suria

Rakyat Malaysia, ibu 3 anak raih tempat ketiga Mrs World 2019

kokilam meraih tempat ketiga pada pertandingan Mrs World 2019. - FotoBERNAMA

BUAT pertama kalinya sejak 35 tahun, seorang rakyat Malaysia berjaya muncul sebagai seorang daripada tiga pemenang utama dalam pertandingan ratu cantik Mrs World.

Kokilam Kathirvailu, 34, meraih tempat ketiga pada pertandingan Mrs World 2019 yang diadakan di West Gate Resort di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Sabtu, menurut Pengarah Nasional Mrs Malaysia World Datin Harveen Kaur yang juga juara Mrs Malaysia World 2017.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pertandingan ratu cantik Mrs World 2019 itu menampilkan peserta dari 38 negara.

Mahkota Mrs World 2019 menjadi milik Jennifer Le dari Vietnam manakala Matapa Maila Rikhotso dari Afrika Selatan muncul naib juara.

Kokilam yang berasal dari Kuala Lumpur dan seorang ibu kepada tiga anak itu dimahkotakan sebagai Mrs Malaysia World 2018-2019 dalam pertandingan yang diadakan September lepas di ibu negara.

Harveen Kaur berkata Kokilam akan pulang ke tanah air malam ini dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8.55 malam.

Beliau berkata matlamat utama pertandingan Mrs World adalah “satu perayaan bagi wanita berkahwin mendapat kejayaan dalam rumah tangga dan menggunakannya untuk membawa lebih banyak kegembiraan di dunia”.

Mrs World adalah pertandingan ratu cantik pertama dan tertua di dunia yang diasaskan oleh David Marmel yang juga presidennya. Ia diwujudkan pada 1984 dan kini mempunyai pengarah nasional di 80 negara. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain