POLIS mencari ibu bapa seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui berjalan bersendirian dan cuba melintas jalan utama di kawasan perumahan Puncak Alam pada Selasa. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata polis dimaklumkan mengenai kes itu susulan video yang tular pada Rabu. Video itu dirakam seorang penunggang motosikal yang terlihat kanak-kanak itu yang memakai baju T berwarna biru nyaris dilanggar sebuah lori. ARTIKEL BERKAITAN: Mak kerja, bapa tidur, anak kecil di tepi jalan nyaris dilanggar lori... Terima kasih adiwira superbike! Dalam video itu, pemuda tersebut bertanyakan kepada budak perempuan tersebut mengenai ibu dan bapanya. "Mak dekat mana? Adik nak pergi mana ni? Dekat rumah ada siapa?," soal pemuda tersebut. Kanak-kanak itu kemudian memberitahu ibunya pergi bekerja, manakala bapanya pula sedang tidur di rumah. Jawapan itu ternyata membuatkan pemuda tersebut terkejut dan hairan bagaimana kanak-kanak itu boleh berkeliaran di jalan utama tanpa pengawasan ibu bapa. Bagaimanapun kanak-kanak berkenaan menunjukkan arah ke rumahnya. Dia dilihat didukung pemuda tersebut sehingga sampai ke sebuah rumah yang jaraknya dari jalan utama menuju ke kediaman berkenaan agak jauh. Sebaik tiba di rumah itu, pemuda tersebut bertanyakan kepada seorang lelaki yang sedang melakukan kerja mengubah suai rumah itu mengenai kanak-kanak berkenaan. Tidak lama kemudian seorang lelaki dipercayai bapa mangsa keluar rumah dalam keadaan terpinga-pinga dipercayai baru sahaja bangun tidur. Pada masa sama, pemuda tersebut turut mengingatkan bapa kanak-kanak itu supaya lebih peka dengan anaknya. "Abang perhatikan betul-betul (anak). Abang dekat luar ni pun nampak budak kecil kat luar tolong angkat bawa masuk dalam, tolong tanggungjawab sikit sebab budak kecil dia tak ada akal," katanya. Fadzil berkata satu laporan polis sudah dibuat dan kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan anak tanpa pengawasan rapi. "Kami menggesa ibu bapa kanak-kanak itu supaya datang ke Ibu Pejabat Polis Sungai Buloh dengan segera dan berjumpa dengan Inspektor Samri Abd Hamid untuk siasatan lanjut," katanya pada Khamis.