suria

Ainul Mardhiah dijangka berlepas ke London untuk rawatan

Ainul Mardhiah. Foto Bernama

BAYI perempuan berusia sembilan bulan yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’, Ainul Mardhiah, dijangka berlepas ke London untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan di salah sebuah hospital di sana selewat-lewatnya Jumaat ini.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, seorang peniaga kedai runcit berkata, persiapan lengkap dalam semua aspek telah dilakukan dan hanya menunggu tiket penerbangan daripada Malaysia Airlines (MAS) yang menaja mereka ke sana.

Ahmad Safiuddin berkata dua pakar bius daripada hospital swasta di negara ini akan mengiringi beliau dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, serta Ainul Mardhiah ke negara tersebut.

"Alhamdulillah semua berjalan lancar. Pasport semua telah siap dan hanya tunggu lampu hijau daripada MAS untuk tiket penerbangan. Mungkin Khamis malam atau Jumaat ini kami akan berlepas ke sana bergantung pada kekosongan kapal terbang.

"Dr Nur Amalina Che Bakri juga telah mengesahkan akan ada doktor yang menunggu di lapangan terbang di sana tetapi beliau enggan mendedahkan nama hospital yang bakal merawat Ainul Mardhiah kerana ia adalah sulit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Ayer Molek di Melaka, Isnin.

Mengulas lanjut, Ahmad Safiuddin berkata usaha membawa anak tunggalnya itu untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di London merupakan satu risiko yang perlu ditanggung beliau dan isteri namun mereka masih meletakkan harapan yang tinggi agar Ainul Madhiah dapat menjalani kehidupan normal seperti bayi lain.

Beliau berkata, mereka juga telah dimaklumkan untuk sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan yang bakal berlaku kerana bukan sahaja harapan untuk anaknya itu kembali sihat tipis malah pembedahan yang berkemungkinan dilakukan ke atas anaknya itu juga berisiko tinggi.

"Membawanya menaiki kapal terbang juga berisiko dan sama ada dia dapat menjalani pembedahan atau tidak, kita belum pasti lagi. Bergantung kepada ujian MRI (Pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik) yang akan dilakukan di London kerana keputusan MRI yang dilakukan di sini tidak jelas," katanya.

Justeru itu, beliau berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan agar perjalanan mereka sekeluarga khususnya Ainul Mardhiah dipermudahkan dan berterima kasih kepada rakyat negara ini yang menyalurkan bantuan kewangan sehingga usaha membawa anaknya mendapatkan rawatan di luar negara tercapai.

Sementara itu, Nurul Erwani berkata walaupun keadaan Ainul Madhiah tidak seperti bayi normal lain namun beliau mudah diurus dan tidak banyak merengek kecuali ketika lapar, membuang air atau penukaran alat bagi membolehkannya bernafas melalui lubang tracheostomy.

Beliau juga berharap dapat melihat bayinya kembali aktif dan dapat meniarap seperti sebelum menjalani rawatan kimoterapi pada usia empat bulan.

Kes Ainul Mardhiah mendapat perhatian Dr Nur Amalina, doktor pakar pelatih surgikal kelahiran Malaysia yang bertugas di hospital United Kingdom, yang menyatakan hasratnya untuk membantu dan cuba menghubungi beberapa kenalannya daripada pelbagai bidang kepakaran berhubung masalah yang dihadapi bayi itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain