PADUKA Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar kembali ke rahmatullah pada pagi Rabu. Almarhum mangkat pada usia 88 tahun, kira-kira pukul 8.50 pagi Rabu, bersamaan 17 Ramadan di hari Nuzul al-Quran. Perkara itu disahkan oleh oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan di halaman rasmi Facebooknya, pagi Rabu. Wan Rosdy berkata, Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur. "Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah. "Almarhum mangkat pada jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu. "Sehubungan itu, saya mohon rakyat-jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan moga-moga roh Almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala, serta ditempatkan bersama-sama para Syuhada’," tambah Wan Rosdy. Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin pada sidang media memberitahu, jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah dibawa ke Istana Negara bagi urusan selanjutnya. "Istiadat pemakanan akan diadakan selepas Zohor esok (Khamis)," katanya. Beliau memberitahu, kerajaan negeri mengiystiharkan hari berkabung di Pahang bermula pada Rabu selama 40 hari. "Kerajaan Pahang mengumumkan esok sebagai cuti umum bagi negeri Pahang dan tempoh berkabung selama 40 hari bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah," katanya. Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah yang juga Sultan Pahang kelima, menyerahkan takhta kepada anakanda baginda, Tengku Abdullah, selepas memerintah negeri ini hampir 45 tahun. Pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari lalu. Cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang kini berada dalam keadaan gering dan dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara. Sultan Ahmad Shah, dilantik menjadi Sultan Pahang kelima pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Abu Bakar dan istiadat pertabalan berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 8 Mei 1975. Diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan pada 24 Oktober 1930, Sultan Ahmad Shah merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dengan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah. Baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada 1944, ketika berusia 14 tahun. Almarhum mempunyai lapan anakanda iaitu Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Datuk Muhaini, Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Datuk Aishah, Al-Sultan Abdullah, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Datuk Shahariah dan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua'adzam. Tujuh daripada lapan anakanda itu merupakan cahaya mata perkahwinan baginda dengan Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang mangkat pada 29 Jun 1988. Almarhum kemudiannya bertemu jodoh dengan Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991.