SEORANG kanak-kanak perempuan terperangkap dalam mesin basuh automatik di sebuah kedai dobi layan diri di Larkin Perdana 2 dekat Taman Larkin Perdana di Johor Bahru pada Ahad. Difahamkan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dikatakan bermain bersama rakannya di premis berkenaan sebelum masuk ke dalam mesin basuh tersebut. Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Kamil Zulkifli berkata mereka menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira pukul 4.38 petang. Katanya, sebelum kejadian, mangsa dipercayai masuk ke dalam mesin basuh itu dan ditutup oleh rakan yang lain. Bomba mengambil masa selama tiga minit untuk mengeluarkan mangsa. “Perkara itu disedari orang dewasa yang lain apabila hendak menggunakan mesin basuh di kedai itu. Bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dengan memotong kunci pada penutup mesin basuh berkenaan. “Kita mengambil masa kira-kira tiga minit untuk mengeluarkan mangsa. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada maklumat mangsa yang dapat diperoleh kerana dia masih trauma dan terus berlari balik ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan. Mohd Kamil berkata operasi menyelamatkan mangsa berakhir pada pukul 4.55 petang.