suria

Anggota Rela masih hidup, mangsa lain maut diserang babi hutan

Gambar sekadar hiasan. Foto AP

INDIVIDU yang maut akibat serangan babi hutan pada Rabu lalu bukan anggota Rela, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee.

Norhizam berkata, beliau menerima mesej mengenai kematian anggota Rela, Adnan Abdullah, 52, pada pukul 3 pagi Sabtu dan bergegas ke Hospital Melaka untuk membantu keluarga Adnan.

"Bagaimanapun, saya diberitahu Adnan masih hidup dan dalam keadaan stabil, tetapi seorang remaja berusia 19 tahun dikatakan maut akibat serangan babi hutan pada Rabu," katanya pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Parah disondol babi hutan selepas selamatkan dua beranak, “Ayah hero kami”

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah Cedera Disondol Babi Hutan Dalam Masjid

Norhizam berkata, kekeliruan berlaku selepas pegawai kebajikannya menerima mesej pada pukul 2.50 pagi Sabtu, memaklumkan kepada mereka bahawa mangsa serangan babi hutan telah meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada awal pagi.

Beliau berkata, pegawainya hanya mengetahui Adnan merupakan satu-satunya yang diserang haiwan liar itu dan menerima rawatan di ICU sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, mereka tidak menyedari terdapat kes yang hampir sama berlaku.

"Saya memohon maaf bagi pihak pegawai saya kerana mengatakan Adnan meninggal dunia.

"Syukur kepada Tuhan, dia masih hidup dan dalam keadaan pulih," katanya.

Adnan yang merupakan anggota Rela sepenuh masa diserang seekor babi hutan di Kampung Air Tawar di Merlimau, Melaka pada 17 Mei lalu.

Norhizam berkata, insiden serangan babi hutan di KM5, Lebuhraya AMJ, di Serkam pada Rabu melibatkan seorang pekerja kilang dari Kampung Lanchang di Merlimau.

Beliau berkata mangsa, Muhammad Alif Norhizam, dan seorang lagi penunggang motosikal, Muhammad Irfan Mohamed, dipercayai dirempuh seekor babi hutan.

Penunggang motosikal lain berjaya melarikan diri.

Norhizam berkata, terdapat tanda amaran mengenai babi hutan melintas di lokasi kejadian.

"Insiden terbaharu ini membolehkan kita mengambil tindakan terhadap populasi babi hutan yang semakin meningkat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Arshad Abu mengesahkan insiden pada Rabu dan kematian remaja berusia 19 tahun. - THE STAR

Rela, babi hutan

Artikel Lain