suria

'So Aunty, So What? And Some More' naskhah istimewa perjalanan June Wong lebih 40 tahun dalam dunia kewartawanan

Majlis pelancaran buku June Wong (dua, kanan) 'So Aunty, So What? And Some More' yang disempurnakan oleh Musa Hitam (kiri) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto S.S KANESAN

SETIAP yang bermula akan ada pengakhirannya, begitu juga dengan Ketua Eksekutif Projek Khas Kumpulan Media Star, June H.L Wong yang bakal bersara pada akhir bulan ini.

Namun semangatnya dalam penulisan terus membara dengan penerbitan buku So Aunty, So What? And Some More yang dilancarkan pada Jumaat.

Bermula dengan kerjayanya dalam dunia kewartawanan apabila June mendapat 'byline' pertamanya dalam akhbar The Star pada 1977.

Dari wartawan kepada pengarang sehingga bergelar ketua pengarang kumpulan, June terus berdiri megah dengan karyanya selepas lebih empat dekad.

June Wong.

June mempunyai ruangan komentarnya sendiri bermula 1 Mac 2012 dan buku setebal 426 muka surat itu menghimpunkan sebahagian artikel tulisan beliau dari 2012 sehingga 2018.

Selain artikel-artikel daripada komentarnya, turut dipaparkan adalah kisah-kisah yang pernah diterbitkan dalam The Star, yang memberi kesan yang amat bermakna kepada beliau.

Mengenai penerbitan buku tersebut, June berkata, ia merupakan pengalaman yang mengagumkan dan saya tidak menjangka ramai yang menyokong.

"Penerbitan buku ini menandakan berakhirnya kerjaya saya di The Star dan ia merupakan satu perjalanan yang cukup indah sebagai seorang wartawan.

"Buku ini terlalu istimewa buat saya dan saya harap orang ramai dapat menikmati dengan membacanya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara sempena pameran buku Popular Bookfest.

Orang ramai beratur untuk mendapatkan tandatangan June.

Buku berkenaan dilancarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Anak pesara polis ini mengakui mengambil masa untuk menghimpunkan artikel-artikelnya dalam naskhah itu kerana mahu memastikan bahan dipilih antara yang terbaik.

Buku So Aunty, So What? And Some More mempunyai 10 bahagian iaitu That's Life, That's Entertainment, Politics and Politicos, Eye On The World, The Line Must Be Drawn Here!, Taking On Tech, We Can Do It!, The Mahathirs dan Tales From The Grave.

Sesi beramah mesra bersama pembaca karya June.

Dan sudah pastinya mendiang bapa June, Wong Heck Ming yang banyak memberi inspirasi kepada beliau sehingga memoir mengenai bapa tercinta turut dijadikan coretannya.

"Bapa begitu mempengaruhi saya dalam kehidupan. Saya bercadang untuk menulis lebih banyak memoir mengenai beliau pada masa akan datang," tambah June.

Menurut June, cintanya tetap dalam penulisan dan bersedia untuk menulis dalam komentar atau apa juga platform pada masa akan datang.

June (kanan) bersama salah seorang pembaca bersama buku yang baru dilancarkan.

Tanpa mengira topik, beliau akan memastikan setiap penulisan mahupun isu yang dikupaskan mendapat penerimaan dan mudah difahami masyarakat secara umum.

"Antara topik yang menarik perhatiannya adalah alam sekitar seperti pencemaran plastik dan saya mahu menyampaikan mesej berguna kepada masyarakat.

"Alam sekitar begitu dekat di hati saya, dan saya mahu mendidik dan memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai hal-hal berkaitan dengan alam sekitar," ujarnya.

Artikel Lain