TIADA pusara untuk diziarahi, namun hanya doa mengiringi pemergian ibu tercinta, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh, sembilan tahun lalu. Setiap kali tibanya Syawal, pastinya mengundang rasa hiba anak sulung jutawan kosmetik iaitu Erni Dekritawati Yuliana Bukhari yang amat merindui ibu tersayang. ARTIKEL BERKAITAN: "Kami Lebih Tenang Teruskan Legasi Ibu" – Anak Sosilawati ARTIKEL BERKAITAN: Syukur, Penantian Tujuh Tahun Berakhir - Rita Sosilawati Wanita berusia 34 tahun itu hanya mampu mendoakan kesejahteraan arwah ibunya dan menatap gambar-gambar lama sebagai kenangan bagi mengubat rindu. Allahyarham Sosilawati mati dibunuh bersama tiga individu yang lain di Banting, Selangor pada 2010. Lebih dikenali sebagai Rita Sosilawati, usahawan kosmetik itu memberitahu rutinnya menjelang Aidilfitri lebih kepada mengembalikan nostalgia bersama arwah ibu. “Bermula minggu-minggu akhir Ramadan, saya dan suami bersama pekerja akan pergi rumah ke rumah keluarga yang daif di sekitar kawasan kediaman kami di Gombak. “Saya menyambung legasi arwah yang suka bersedekah kepada saudara-mara dan orang susah untuk sama-sama menyambut Hari Raya. “Keluarga kami dulunya hidup susah, tapi bila pergi ke rumah-rumah mereka yang daif ni, jelas sekali mereka sebenarnya jauh lebih susah daripada kami,” katanya kepada mStar. Rita sewaktu melawat seorang warga emas yang lumpuh pada Ramadan, baru-baru ini. Nikmat kesenangan yang dikecapinya kini dikongsi bersama golongan yang lebih memerlukan sehingga bergenang air mata apabila dia disangka sebagai anak mereka. Walaupun tiada pusara ibu untuk diziarahi, mendoakan kesejahteraan arwah agar tenang di sana adalah sebaik-baiknya. Amalan bersedekah arwah juga diteruskan RITA SOSILAWATI Jelasnya, segelintir ibu yang susah itu tidak dipedulikan terutama setiap kali tibanya lebaran, malah ada yang hidup sebatang kara tanpa anak-anak disisi dan itulah realitinya. “Bila saya menjenguk mereka, ada yang menyangka saya anaknya. Saya mengiyakan saja beri peluang untuk ubat kerinduan dia. “Tapi sebenarnya saya juga menangis sebab mengingatkan saya kepada arwah ibu. Ibu pergi menjelang raya, jadi kehilangannya amat dirasai,” katanya. Rita (kiri) bersama bapa, Bukhari Muhammad. Mungkin ramai yang menyangka peneraju empayar perniagaan kosmetik yang dibina arwah ibu 25 tahun lalu membolehkan dia sekeluarga hidup bermewah-mewah. “Ramai ingat saya biarkan anak-anak hidup senang, tapi sebenarnya saya didik anak-anak supaya hidup bersederhana. “Macam kasut anak-anak, bukannya bila raya saja kena tukar baharu. Kalau masih elok, pakai lagi sampai dah rosak barulah tukar. “Percaya atau tidak, raya tahun ini kami sekeluarga masing-masing hanya ada baju raya sepasang. Baju yang lama masih elok, jadi kenapa perlu membazir,” katanya. Rita bersama suami dan anak-anak pada Hari Raya. Dalam pada itu, Rita turut mengimbau kenangan dengan memasak juadah raya kegemaran arwah ibu seperti rendang ayam dan daging, lontong dan soto serta membuat sambal jawa, dan semua resepi itu dipelajarinya dan diamalkannya kini. “Walaupun tiada pusara ibu untuk diziarahi, mendoakan kesejahteraan arwah agar tenang di sana adalah sebaik-baiknya. Amalan bersedekah arwah juga diteruskan. “Rindu tak semestinya kena menangis, kerana menikmati masakan kegemaran arwah ibu juga dapat mengubati kerinduan yang teramat sangat itu,” ujar Rita. Pemergian Sosilawati yang mati dibunuh bersama tiga individu lain menggemparkan negara pada 2010 dan ia berlaku beberapa hari sebelum Aidilfitri. Mayat mereka dibakar dan abunya dibuang di sebatang sungai di Tanjong Sepat dekat Banting, Selangor.