suria

“Saya gembira dengan sikap ditunjukkan rakyat Malaysia ”- Tun M luang masa lawat Ainul Mardhiah di London

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sempat menziarahi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menjalani pembedahan membuang tumor dalam mulut di London.

PERJALANAN Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap ketumbuhan kanser Germ Cell Tumor di London ternyata mendapat perhatian ramai.

Selamat menjalani pembedahan membuang tumor seberat 200g dari mulutnya pada minggu lalu, Ainul Mardhiah kini tidak lagi memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas.

Malah, menurut bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, keadaan kesihatan bayi berusia sembilan bulan itu semakin baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya! Tumor 200g dikeluarkan dari mulut Ainul Mardhiah, "Perjalanan yang cukup emosi..." - Dr Amalina

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa dedah Ainul tak suka dibalut, “Bukan main lagi dia meronta-ronta nak keluarkan tangan”

Terbaharu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut meluangkan masa untuk menziarahi bayi comel itu.

Dr Mahathir berkunjung ke hospital tempat Ainul Mardhiah dirawat sejurus mengadakan sidang media sempena lawatan tiga hari beliau ke London.

Terbaik Tun ini yg di namakan pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa menjadi idola rakyat Malaysia tercinta.

NETIZEN

Video lawatan itu dimuat naik ke media sosial milik Dr Mahathir.

Turut kelihatan dalam video, ibu bapa Ainul, Ahmad Saifuddin dan Nurul Erwani Zaidi serta pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Amalina Che Bakri.

Dr Mahathir semasa ditemui media Malaysia selepas melawat bayi itu berkata beliau terharu apabila dapat melihat Ainul Mardhiah.

"Bagaimanapun, saya gembira dengan sikap yang ditunjukkan rakyat Malaysia sehingga membolehkan Ainul Mardiah mendapatkan rawatan di sini," katanya, memetik Bernama.

Ahmad Safiuddin menerusi Facebook memaklumkan keadaan kesihatan anaknya kini semakin baik.

"Di sebalik jadual lawatan rasmi yang padat, YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut meluangkan masa melawat seorang kanak-kanak yang telah selesai menjalani pembedahan membuang tumor di dalam mulut di sebuah hospital di London, adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin," tulis pengendali media sosial milik perdana menteri itu.

Dalam pada itu, perkongsian video berkenaan turut menarik perhatian netizen.

Malah, rata-rata rakyat Malaysia turut menzahirkan rasa gembira apabila Dr Mahathir sanggup meluangkan masa untuk melawat Ainul.

"Terbaik Tun ini yang dinamakan pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa menjadi idola rakyat Malaysia tercinta," tulis Noor Hafizah.

"Terima Kasih Tun kerana prihatin pada kesihatan adik ini," tulis Suzanne Lim.

Artikel Lain