suria

Minta jemaah Haji pulangkan wang tajaan 1MDB? Latheefa kata ia tweet palsu

Kenyataan palsu yang tular di Twitter. FOTO: Sinar Harian.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Beebi Koya menafikan beliau mengeluarkan ciapan meminta jemaah haji yang ditaja 1MDB memulangkan semula wang tersebut.

Menerusi laman Twitter beliau, Latheefa menciap ringkas: “Ini adalah palsu!” dan berkongsikan tangkap layar mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Menurut tangkap layar palsu itu, Latheefa dikatakan meminta jemaah haji yang ditaja memulangkan wang tersebut dalam tempoh 30 hari sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan.

“Para Jemaah Haji ditaja guna wang curi dari 1MDB sejak 2011 hingga 2018, diminta memulangkan wang tersebut dalam tempoh 30 hari bermula hari ini, atau bakal berdepan tindakan,” menurut tangkap layar itu.

Jumaat lepas, SPRM membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Menurut Latheefa, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.

“Kita telah mengenal pasti 41 sama ada individu atau entiti yang telah dijadikan responden dalam permohonan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bermula pada 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

“Sebanyak 41 responden yang disenaraikan termasuklah daripada pihak-pihak berkaitan parti UMNO yang melibatkan nilai RM212 juta dan selebihnya adalah yayasan-yayasan, syarikat-syarikat dan sebagainya,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat SPRM.

Dalam sidang media sama, tiada kenyataan daripada Latheefa yang mengarahkan jemaah haji tajaan 1MDB diarahkan supaya memulangkan semula wang tersebut. - Sinar Harian.

Artikel Lain