SEMUA institusi pendidikan yang terletak di Pasir Gudang ditutup mulai Selasa hingga Khamis ini, demikian dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor. Pengarahnya, Azman Adnan berkata, penutupan itu melibatkan 111 buah sekolah rendah dan menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi dan 14 buah sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 buah tadika swasta yang berdaftar dengan JPN Johor. “Penutupan itu untuk membolehkan kerja-kerja berkaitan mengatasi isu bahan punca pencemaran dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan. Justeru, beliau meminta semua pengetua dan guru besar memaklumkan segera kepada semua murid, guru dan ibu bapa serta kakitangan dalam kawalan mereka dan mengambil tindakan susulan berkaitan penutupan itu. Menurutnya, jabatan itu akan sentiasa membuat pemantauan rapi dan membantu sekolah-sekolah bagi memastikan kesejahteraan murid-murid berada dalam keadaan yang terbaik. Beliau juga menyeru agar sama-sama berdoa agar insiden pencemaran itu akan dapat diatasi segera dan sekolah akan dapat beroperasi seperti biasa demi kebaikan para murid.- Bernama