DUA jenama minuman botol ditarik dari pasaran selepas beberapa sampel didapati tercemar dengan bakteria yang biasanya terdapat dalam najis, tanah dan kumbahan. Kementerian Kesihatan memberitahu, jenama Starfresh dan Waterfuns didapati mengandung 'pseudomonas aeruginosa', yang melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985. Produk yang ditarik balik ialah botol 500ml dan 1500ml dengan tarikh luput 11 Mei 2021 dan 13 Mei 2021. Kementerian juga telah mengarah syarikat itu untuk menarik balik produknya dan lesen syarikat telah digantung Jumaat lalu. "Kementerian ingin menasihati mereka yang telah membeli air botol dengan jenama dan tarikh luput tersebut untuk tidak meminumnya," jelas Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Isnin. Sabtu lalu, Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan bahawa semua minuman botol import dan air mineral dari pengeluar itu diberhentikan serta-merta, selepas pengesanan bakteria pseudomonas aeruginosa untuk kali kedua. - The Star