suria

Tiada lagi suspek berbaju lokap oren SPRM ke mahkamah?

Tiada lagi baju lokap oren dipakai ketika suspek dibawa ke mahkamah merupakan antara pembaharuan yang bakal diumumkan oleh Latheefa.

SUSPEK yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi memakai baju lokap berwarna oren ketika dibawa ke mahkamah.

Perkara itu merupakan antara pembaharuan yang dilakukan oleh ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya terhadap suruhanjaya itu, dijangka diumumkan pada Selasa.

"Saya sudah beri arahan, semua individu ditahan SPRM apabila mereka dibawa ke mahkamah, mereka tidak lagi boleh dipakaikan baju lokap SPRM.

"Tiada lagi pakai baju oren," kata Latheefa dalam wawancara bersama portal berita, Free Malaysia Today.

Portal berita itu melaporkan bahawa di bawah pembaharuan tersebut, suspek hanya akan memakai baju oren di dalam lokap.

Turut dilaporkan Latheefa memberitahu peraturan menggari suspek juga akan diumumkan.

Pada 2017, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Dzulkifli Ahmad mempertahankan langkah untuk suspek berbaju lokap oren ketika dibawa ke mahkamah.

Antara yang membuat bantahan itu adalah peguam hak asasi, N Surendran yang menyifatkan langkah itu melanggar Perlembagaan Persekutuan dan peraturan penjara.

Antara suspek berprofil tinggi yang dibawa ke mahkamah dengan memakai baju oren adalah bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh. - The Star

baju oren, lokap, SPRM, Latheefa Koya

Artikel Lain