suria

Sejarah tercipta, Parlimen lulus RUU undi 18 tahun

BARISAN Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mencipta sejarah apabila menyokong majoriti lebih dua pertiga bagi meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019, di Dewan Rakyat, Selasa.

Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika mengumumkan perkara itu berkata, seramai 211 ahli menyokong, melebihi jumlah yang diperlukan iaitu 148 orang.

RUU itu, yang dibentangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada bacaan kali kedua bercadang meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Ia juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Selain itu, RUU itu juga mengandungi cadangan untuk pendaftaran warganegara secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun.

Ketika pembentangan bacaan kali kedua RUU berkenaan, Dr Mahathir berkata, kerajaan menjangka seramai 7.8 juta pengundi baharu akan dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih setiap tahun sehingga 2023 sekiranya pendaftaran secara automatik dilaksanakan bersekali dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Sehubungan itu, kerajaan menganggarkan jumlah pengundi pada 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

"Oleh yang demikian, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan satu tempoh waktu yang sesuai untuk memastikan kelancaran proses kerja yang berkaitan," katanya.

Jelas perdana menteri lagi, kerajaan bersetuju untuk mencadangkan Malaysia menurunkan had umur mengundi dan had umur calon seawal 18 tahun  selaras dengan amalan demokrasi dunia.

Menurut Dr.Mahathir, selepas 1970-an, negara-negara maju seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis dan Australia telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Kemudian katanya, ia diikuti oleh India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada era 1980-an dan yang terakhir mengikuti jejak menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ialah negara Jepun pada tahun 2016.

"Ketika ini, hanya Malaysia dan Singapura di Asean serta beberapa negara lain seperti Kuwait, Oman, Cameroon, Lubnan, Samoa dan Tonga yang masih mengekalkan had umur mengundi 21 tahun, ini bermakna, kesemua negara Komanwel lain yang mengamalkan demokrasi ala Westminster, termasuklah India telah menetapkan umur 18 tahun sebagai umur kelayakan mengundi.

"Hampir semua negara di Asia telah melaksanakan had umur mengundi 18 tahun dan yang terkini beberapa negara di Eropah pula telah mula menurunkan had umur mengundi yang lebih rendah daripada 18 tahun kepada 16 tahun, berikutan perkembangan di seluruh dunia ini, maka golongan belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun," katanya.


undi, RUU, Parlimen, 18 tahun

Artikel Lain