suria

Sama-sama meninggal sebab strok! Genap 24 jam selepas pemergian bapa, anak tunggal menyusul, “Yon terkejut terus sawan”

Yon (gambar kecil) meninggal dunia genap 24 selepas pemergian bapanya pada Selasa malam. -foto Facebook Fieza Rafieza

GENAP 24 jam selepas pemergian suami tercinta pada Isnin malam, anak tunggalnya pula dijemput Ilahi sehari selepas itu.

Kedua-duanya meninggal akibat strok, malah waktu mereka menghembuskan nafas terakhir juga sama, sekitar pukul 11 malam.

Bercakap kepada mStar, Salmah Mohamad, 65, mengakui masih lagi terkesan dengan pemergian dua insan tersayang dalam tempoh yang cukup singkat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dan bayi sakit, bapa pula dibuang kerja... pilu nasib 5 beranak

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya rasa dia boleh sembuh…” - Suami terkilan baju raya ditempah untuk isteri hanya tinggal kenangan

Mesra disapa Salmah, dia memaklumkan suaminya, Mohd Ali Awang, 70, mula menghidap strok sejak Mei tahun lalu manakala anaknya, Harul Shahrin, 38, yang juga jurukamera Radio Televisen Malaysia (RTM) menghidap penyakit sama sejak 2016.

"Suami meninggal di rumah di Kulim, Kedah pada Isnin malam... anak saya, Yon (Harul Shahrin) pula meninggal di Hospital Kulim esoknya. Waktu meninggal juga sama, sekitar pukul 11 malam.

"Suami saya meninggal depan Yon, dia terkejut. Dia pun sebenarnya sekarang sedang dalam cuti sakit (MC).

"Selepas ayahnya meninggal, Yon terus sawan dan menangis, lepas tu badan dia sejuk dan keluar peluh. Sampai petang dia tak boleh bernafas.

"Dia pun tak pergi sewaktu pengebumian ayahnya. Dalam 9.30 malam (Selasa), kami hubungi ambulans dan dia meninggal di hospital dalam pukul 11 malam," ujar Salmah sewaktu dihubungi pada Rabu.

Dia anak yang baik, tak pernah marah dan melawan mak cik. Kalau mak cik nak buat kuih pun dia tak bagi, dia bimbang mak cik penat.

SALMAH MOHAMAD

Menurut Salmah, Yon mempunyai dua orang cahaya mata yang berusia 10 dan empat tahun.

Bercerita mengenai anaknya itu, Salmah berkata dia merupakan anak yang cukup prihatin dan penyayang.

"Dia anak yang baik, tak pernah marah dan melawan mak cik. Kalau mak cik nak buat kuih pun dia tak bagi, dia bimbang mak cik penat.

Salah satu daripada dua perkongsian ibu saudara Yon menerusi Facebook.

"Ayahnya kebumi sekitar pukul 2 petang semalam (Selasa), InsyaAllah akan kebumikan Yon sebelah pusara ayahnya hari ini (Rabu)," ujarnya lagi.

Tambah Salmah lagi, dia tidak mampu untuk menafsirkan pemergian dua insan kesayangannya itu dalam bentuk kata-kata.

Malah, Salmah berkata, dia tidak menyedari sebarang petanda pelik sebelum anak dan suaminya meninggal dunia.

Dalam pada itu, ibu saudara kepada Yon iaitu Fieza Rafieza turut berkongsi mengenai kematiannya menerusi laman Facebook.

"Allahu rabbi Yon dah tinggalkan selama-lamanya mak su, mak Yon, anak-anak Yon dan isteri Yon. Mak su sayang Yon hari ni last juga mak su bagi mandi Yon.

"Kelmarin arwah abah Yon, mak su hanya dapat luah dalam ni (Facebook) untuk kenangan, Yon baik sangat dengan mak su," tulisnya lagi.

Kenalan Facebook turut dilihat meninggalkan komen yang menzahirkan rasa simpati mereka di atas pemergian Yon dan bapanya.

Artikel Lain