suria

Video seks tulen, dua individu belum dikenal pasti - KPN

Abdul Hamid mengesahkan video seks yang menjadi viral sebelum ini adalah sah.

CYBER Security Malaysia (CSM) mengesahkan bahawa video seks yang melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali adalah tulen, kata Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Ketua Polis Negara (KPN) bagaimana pun berkata, agensi itu tidak dapat mengenal pasti dua orang lelaki dalam rakaman tersebut.

"Video itu dan siapa yang berada di dalamnya tidak berada dalam bidang kuasa saya, jadi kami menghantarnya ke Cyber Security untuk menentukan sama ada video tersebut tulen dan jika Cyber Security dapat menentukan siapa yang berada di dalamnya.

"Jawapan yang kami terima ... mereka (Cyber Security) memberitahu ianya 'authentic' (tulen) tetapi tidak boleh 100% kepastian siapa yang berada di dalamnya," katanya ketika Program Bicara Politikonomi di RTM pada Rabu malam.

Sebagai ketua polis negara, Abdul Hamid berkata, beliau tidak boleh membuat kenyataan berdasarkan pendapat kerana ia boleh dikenakan prosiding mahkamah sekiranya perkara itu dibawa ke muka pengadilan.

"Saya harap rakyat akan memahami kekangan yang saya hadapi dalam tanggungjawab saya sebagai KPN.

"Seperti yang saya katakan sebelumnya, ini adalah kes yang sukar yang tidak dapat diselesaikan dalam satu, dua, atau tiga minggu," katanya.

Sebelum ini, Abdul Hamid berkata bahawa polis merangkumi semua sudut dalam siasatan.

"Oleh kerana kerumitan kes itu, kami menyiasatnya dengan teliti.

"Kami tidak boleh tergesa-gesa dalam siasatan. Biarkan kami menyiasat perkara itu dengan betul," katanya.

Apabila ditanya mengenai kesahihan video itu pada satu majlis di Wisma Pertahanan pada Khamis, beliau berkata akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu kemudian.

Polis setakat ini telah menahan reman sembilan orang, termasuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang merupakan Ketua PKR Perak dan setiausaha politik Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sepanjang bulan yang lalu, klip video seks yang menampilkan dua lelaki telah diedarkan kepada pihak media dan anggota PKR.

Ini diikuti dengan video pengakuan oleh Haziq Abdullah Abdul Aziz, ahli PKR dan bekas pembantu politik kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, bahawa dia adalah salah seorang daripada dua orang lelaki dalam video itu.

Video seks, Menteri, Cyber Sekurity, KPN

Artikel Lain