suria

Dulu buta huruf, pernah ditipu rakan kini Azim peniaga nasi kukus berjaya

Azim (tengah) bersama sebahagian pekerja di gerai nasi kukus ayam berempah miliknya.

PERNAH buta huruf dan dihalau dari rumah sewa. Demikian luahan seorang pemuda, Wan Abdul Adzim Wan Jaafar, 30, yang tular di Facebook baru-baru ini berkongsi pahit manis kehidupannya sejak remaja hingga kini.

Perkongsian pengalamannya yang dimuat naik di Facebook, I Love Pahang itu mendapat lebih 2,600 tanda suka dengan 362 komen serta 170 perkongsian setakat hari ini mengusik hati netizen yang memuji semangat pemuda yang berasal dari Temerloh itu.

Anak ketiga daripada lapan beradik itu ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat berkata, dia terkejut dan tidak menyangka luahannya mendapat perhatian masyarakat.

"Ya, saya hanya belajar sampai tingkatan satu dan berhenti selepas ibu meninggal dunia. Adik-beradik ramai jadi saya berkorban demi adik-adik selain tidak mahu susahkan ayah.

"Saya akui buta huruf dan ketika sekolah pun diletakkan dalam kelas pemulihan. Hanya bila sudah berniaga saya sudah lancar membaca," katanya.

Selain itu, dia yang mesra dengan panggilan Azim memberitahu, pelbagai pahit maung ditempuhinya sebelum mampu berdikari sehingga memiliki perniagaan gerai nasi kukus ayam berempah itu sejak 2017 hingga kini.

"Saya juga pernah dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu bayar sewa ketika itu. Pernah ditipu rakan ketika berniaga hingga terpaksa kembali ke kampung.

Azim gigih mengusahakan gerai nasi kukus ayam berempahnya yang mula dibuka pada penghujung Disember 2017.

"Walaupun berdepan banyak dugaan, saya bersyukur kerana kini sinar mula mewarnai hidup," katanya.

Kata Azim, dia juga telah bertemu jodoh dan menamatkan zaman bujang bersama Nurul Hasanah Jam Sari Muhammad, 30, baru-baru ini.

"Ibu mertua, Fatimah Udin, 51, yang datang berjumpa saya selepas tertarik dengan pengalaman hidup saya. Saya rajin berkongsi pengalaman di Facebook dan dari situ ibu mertua mengenali saya.

"Sejujurnya saya tak sangka dan urusan jodoh dipermudahkan dan syukur isteri pun bersetuju dan sudi menjadi pasangan hidup saya," katanya.

Kini, Azim yang mula meniti kejayaan dengan perniagaannya di Taman Temerloh Jaya gigih untuk memastikan nasi kukus ayam berempahnya terus menjadi pilihan orang ramai.

"Saya pun pada peringkat awal menumpang di gerai milik rakan yang baik hati memberikan tempat.

"Dengan modal RM50, saya bermula dengan tiga ekor ayam dan jumlahnya terus meningkat dan kini ada empat pekerja dan dapat sewa tiga lot gerai di sini.

"Saya harap mereka yang fikir diri tidak bernasib baik ubah fikiran negatif dan jangan mudah berputus asa. Terus berusaha dan tabah dengan ujian yang menimpa," katanya yang berhasrat memiliki perniagaan restoran dengan jenama sendiri. - Sinar Harian

Artikel Sebelum

Bapa dera dua anak ditahan

Artikel Berikut

Artikel Lain