POLIS menafikan kes kehilangan remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, sejak pagi Ahad di resort The Dusun, merupakan satu kes penculikan seperti dilaporkan media asing. Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes masih diklasifikasikan sebagai orang hilang. "Kita tidak dapat elemen dan petunjuk menyatakan adat unsur jenayah dan sebagainya sebab itu kita masih yakin mangsa ini hilang dan kita perlu mencarinya. Tiada unsur-unsur jenayah didapati setakat ini. "Kita juga percaya mangsa masih berada di kawasan sekitar sebab itu aset-aset kita tumpukan di sini seperti Pasukan Gerakan Am, helikopter, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, dan Rela," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Nilai, Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan remaja Ireland jadi tanda tanya, Tok Batin kata tak mustahil ada unsur mistik Mohamad dalam pada itu turut meminta agar sebarang maklumat yang ingin disampaikan perlulah tepat dan tidak menokok tambah cerita berkenaan isu kehilangan remaja ini. "Sekiranya mereka ada maklumat yang tepat, gunakan dengan saluran betul dan tidak menyebarkan ke saluran tidak betul sehingga media asing memetik kenyataan sebarangan melalui info tidak tepat. "Kita boleh mengambil tindakan kepada mereka kerana telah menyebar maklumat palsu dan diharapkan kerjasama orang awam serta media supaya memberikan maklumat yang tepat agar kita dapat menyelesaikan kes ini dengan baik," katanya. Beliau berkata operasi malam Isnin masih tetap diteruskan dan dijalankan di sekitar jalan darat dan denai-denai di kawasan persekitaran resort itu. "Esok kita jangkakan akan tambah lagi keanggotaan pihak berkuasa dan membuat pencarian semula di kawasan yang telah kita cari pada siang tadi dan kawasan di sebelah bawah menghala ke kawasann Pantai ini," katanya. Pada Ahad, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada pukul 8.00 pagi. Keluarganya juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran. Berita kehilangan remaja berkenaan turut disiarkan oleh media antarabangsa.-Bernama