LESEN agensi pelancongan yang terlibat dalam kes 26 jemaah haji Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah boleh dibatalkan jika didapati melakukan kesalahan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi. Beliau berkata kementerian akan memanggil pemilik syarikat terbabit untuk mendapatkan penjelasan dalam masa terdekat dan membuat siasatan lanjut. "Kita akan lihat kalau syarikat ini berdaftar dengan kementerian dan lesen mereka dikeluarkan oleh kementerian. "Kalau dia (syarikat) salah guna lesen dan menyebabkan jemaah ini terkandas dan dihantar balik, kemungkinan besar kita akan batalkan lesen," katanya pada sidang media, di Putrajaya pada Khamis. Mohamaddin berkata tindakan tegas itu bertujuan memberi pengajaran kepada agensi pelancongan lain supaya tidak sewenang-wenangnya menyusahkan jemaah yang ingin menunaikan haji atau umrah. Siti Esah Hussain bersama Rosmah Osman (kanan) tidak dapat menahan kesedihan kerana tidak dapat mengerjakan hajimusim ini berikutan masalah tiket dan visa semasa di KLIA pada Rabu. FotoBERNAMA Ditanya mengenai tindakan syarikat terbabit menggunakan khidmat orang tengah untuk menguruskan visa jemaah, Mohamaddin berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku. "Apabila kita luluskan syarikat ini untuk mengendalikan (haji dan umrah) dia perlu kendalikan secara terus bukan pakai orang tengah. "Ini pun adalah satu kegagalan syarikat kerana dia sendiri tidak urus, dia pakai orang tengah pula," katanya. Pada Selasa, seramai 26 jemaah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah kerana memiliki visa haji Furada yang tidak sah, menyebabkan mereka terpaksa diterbangkan pulang ke Malaysia. Visa haji Furada mereka, iaitu visa haji yang diperoleh dengan berurusan secara terus dengan Kedutaan Arab Saudi, tidak dapat disahkan oleh pihak Imigresen Arab Saudi. Kumpulan yang terdiri daripada 12 lelaki dan 14 wanita itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi Rabu. - BERNAMA