suria

Adat musim perayaan diteruskan dengan aktiviti mengacau dodol

Aktiviti mengacau dodol makanan warisan sebagai usaha merapatkan hubungan kemasyarakatan.

ADAT resam dan budaya turun temurun selain aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan kepercayaan masing-masing, tidak patut dilupakan mahupun ditelan zaman pada era teknologi pintar yang semakin menguasai masyarakat.

Ini termasuk aktiviti mengacau dodol sewaktu musim perayaan yang semakin dilupakan dan tidak meriah seperti dahulu ekoran tiada kemahiran, kurang pengetahuan selain tiada generasi pelapis.

Justeru, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti mengacau dodol makanan warisan sebagai usaha merapatkan hubungan kemasyarakatan di DUN Sijangkang pada Sabtu.

Bertempat di Balai Penghulu  Telok Panglima Garang, suasana meriah dan kemesraan dapat dilihat apabila masyarakat setempat dari pelbagai latar belakang, mengambil tempat dan bahagian masing-masing untuk mengacau dodol yang ada masanya rumit , mencabar namun mampumenghasilkan dodol yang sedap.

Menurut penganjur program, Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3 MDKL Norhaninawati Mohd Yusof berkata inisiatif ini diambil untuk mengimarahkan dan memeriahkan malam sambutan hari Raya AidilAdha dengan acara yang mampu mengeratkan lagi perpaduan penduduk khususnya di DUN Sijangkang, Kuala Langat.

"Program ini mendapat kerjasama Exco Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Rashid Asari, Penyelaras DUN Sijangkang, Rosnizan Ahmad, MPP Zon 4 Siti Nor Eaini Nasuka dan Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Panglima Garang.

"'Orang lama' masih lagi mahir dan berbisa dalam membuat dodol ini berbanding generasi muda dan oleh itu, program ini sedikit sebanyak dapat mengajar mereka teknik untuk membuat dodol yang sedap.

"Dengan kesedaran ini, maka tercetuslah idea pihak berkuasa tempatan MPP Zon 3 untuk menganjurkan program yang  sedikit sebanyak dapat menghidupkan semula tradisi makanan Melayu," jelasnya.

Sesungguhnya makanan warisan ini harus dikekalkan dengan  usaha memberikan tunjuk ajar, pengalaman serta pengetahuan asal usul makanan tradisi Malaysia ini serta pembuatan secara tradisional yang seringkali disediakan khusus semasa menyambut perayaan Hari Raya AidilFitri dan AidilAdha.

Tambah Norhaninawati, hakikatnya budaya makanan orang Melayu menjadi pilihan apabila setiap kali tiba musim perayaan dan dodol yang terkenal di Melaka dan Johor ini, adalah di antara manisan yang menjadi pilihan semasa perayaan.

"Kami berharap program ini akan menjadi satu acara tahunan setiap kali tiba perayaan Hari Raya AidilAdha."

kacau dodol, perayaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain