suria

Suasa lengang di resort The Dusun

Suasana lengang di resort The Dusun selepas penemuan mayat Nora Anne pada Selasa.

SUASANA di resort The Dusun, di Pantai, Seremban lengang pagi ini dengan hanya anggota polis dan bomba meneruskan tugas melengkapkan siasatan di kawasan sekitar berkaitan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemukan mati pada Selasa selepas hilang selama 10 hari.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan sekitar lokasi mulai tenang dan lengang berbanding 10 hari sebelum ini yang dipenuhi pengamal media tempatan dan luar negara serta anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Pagi ini, kelihatan beberapa kenderaan anggota keselamatan masih berlegar di sekitar kawasan resort berkenaan selain kelihatan beberapa anggota forensik polis dan bomba melaksanakan tugas.

Pada Selasa,  Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop dilapor sebagai berkata operasi diteruskan bagi melengkapkan siasatan.

Selain itu, pintu masuk di resort berkenaan dilihat masih dikawal oleh beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dengan Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar dilihat turun dari resort berkenaan.

Seramai enam anggota media masih 'berkampung' di khemah operasi SAR yang disediakan berhampiran pintu masuk resort berkenaan.

Pasukan SAR menemukan mayat remaja Ireland itu yang dilapor hilang dari resort tersebut pada 4 Ogos.

Pengecaman mayat itu dibuat oleh keluarga remaja berkenaan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang mayat itu dibawa untuk proses bedah siasat.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di resort itu oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.- Bernama

Artikel Lain