HASIL dapatan dalam persidangan antarabangsa bertemakan MH17: The Quest For Justice yang berlangsung hari ini mendesak perbicaraan kes mahkamah ke atas empat suspek yang didakwa sebagai perancang utama insiden pesawat Malaysia Airlines MH17, dihentikan. Presiden International Movement for A Jus World (JUST), Dr Chandra Muzaffar berkata, ini kerana terdapat kebimbangan terhadap laporan Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) mengenai insiden itu yang masih banyak persoalan belum terjawab dan ada cacat cela. Menurut beliau, rumusan pelan tindakan itu akan turut dihantar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat. "Kami akan kumpulkan semua dapatan dalam persidangan ini untuk dihebahkan kepada masyarakat. Kami harap ia mendapat perhatian Perdana Menteri untuk meyakinkan Perdana Menteri Belanda bagi menghentikan pendakwaan terhadap empat suspek. "Mungkin Perdana Menteri juga boleh berkomunikasi dengan pemimpin negara lain yang terlibat dalam JIT. Keseluruhan pelan tindakan akan ambil masa tetapi yang penting ialah menghentikan perbicaraan terhadap individu-individu terlibat," katanya dalam sidang media selepas persidangan itu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur pada Sabtu. Panel persidangan ini melibatkan beberapa individu terkenal yang telah mengkaji dan menulis mengenai MH17 antaranya Dr Kees Van der Pilj dari Belanda, Peter Haisenko dari Jerman serta Profesor Michel Chossudovsky dan John Philpot dari Kanada. Satu daripada enam sesi perbincangan turut dikhaskan untuk pemimpin kumpulan Malaysia yang melakukan misi berbahaya bagi memulihkan kotak hitam milik MH17 dari tapak kemalangan di timur Ukraine iaitu Kolonel Mohd Sakri Hussin.- Sinar Harian.