MAHKAMAH Tinggi menetapkan 11 September untuk mendengar dua permohonan yang difailkan isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor termasuk untuk mendapatkan jaminan kos sebanyak RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL. Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap Rosmah pada 26 Jun tahun lepas, menuntutnya memulangkan kembali 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar barang kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta. Peguam Datuk David Gurupatham, yang bertindak bagi pihak syarikat Lubnan itu memberitahu pemberita bahawa defendan (Rosmah) juga memfailkan permohonan lain untuk mendapatkan seorang pakar bagi mengesahkan barang kemas yang telah disita untuk dilucuthakkan. "Defendan memfailkan dua permohonan pada Jumaat (16 Ogos), jadi kami perlu membalasnya dan menyediakan afidavit jawapan,” katanya ketika ditemui selepas pengurusan kes yang disebut dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Wong Chee Lin. Peguam itu berkata, mereka juga meminda pernyataan tuntutan mereka bagi disesuaikan dengan perubahan terkini dan isu itu juga akan didengar pada 11 Sept.Beliau berkata perbicaraan saman berkenaan akan diteruskan pada 17 Sept seperti yang dijadualkan dan tiga saksi akan dipanggil. Sementara itu, Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah, berkata defendan memohon RM500,000 sebagai jaminan kos dan satu lagi permohonan bagi tukang emas bebas menilai empat daripada 44 barang kemas yang Rosmah dakwa kini dengan polis. "Kami meminta sebanyak RM500,000 sebagai jaminan kos tetapi plaintiff membantah jumlah itu. Bagaimanapun mereka bersetuju pelantikan seorang tukang emas bebas untuk menilai empat barang kemas itu," katanya dan menambah bahawa defendan memohon jaminan kos memandangkan kes berkenaan melibatkan syarikat asing. Pada 14 Februruari, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah supaya memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barang kemas di bawah milikannya yang didakwa dirampas oleh pihak polis, dalam masa tujuh hari. Dalam samannya, Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, syarikat telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 (RM519,183) dan US$925,000 (RM3.8 juta) kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya. Menurut syarikat itu, semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas tersebut. Syarikat itu juga mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah simpanan pihak berkuasa Malaysia. Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain perintah pesanan yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan. Ia juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah US$14.79 juta (RM59.83 juta). Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai 2018 menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata barang kemas terbabit dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri perdana menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas tersebut.