KERJA membina kereta terbang pertama Malaysia sudah 85 peratus siap, menurut Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. Prototaip kereta terbang itu menurut beliau, sedang dibina oleh sebuah syarikat Malaysia di Jepun, berikutan kuasa ekonomi itu mempunyai ekosistem sokongan untuk industri kereta terbang. "Saya akan ke Jepun pada September untuk menghadiri Persidangan Penerbangan dan saya berharap dapat melihat kereta (terbang) yang hampir siap yang kami akan bawa pulang ke tanah air pada akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Kepimpinan PKS 2019 di Kuala Lumpur, Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: Biar betul? Ramai tak percaya pengumuman menteri mengenai kereta terbang ARTIKEL BERKAITAN: Tidak suka kereta terbang? Naik sahaja kereta buluh, kata menteri ARTIKEL BERKAITAN: Kereta terbang pertama dunia akhirnya dijual Pihak kementerian, katanya, sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian yang terlibat dalam sektor penerbangan untuk mewujudkan ruang udara yang sesuai untuk kereta terbang di Malaysia, serupa dengan usaha dilakukan di beberapa negara lain, untuk melengkapi kemahiran usahawan tempatan bagi membangunkan kereta terbang. "Kereta terbang adalah inisiatif swasta. Kami tidak mengawal mereka (pelabur) mengenai apa yang mereka mahu lakukan, tetapi kami perlu mewujudkan industri (kereta terbang) di Malaysia," katanya. Berhubung sama ada kereta terbang pertama negara akan dilancarkan pada akhir tahun, Mohd Redzuan berkata ia akan bergantung pada ekosistem Malaysia untuk kereta terbang, khususnya dari segi ketersediaan untuk terbang pada waktu itu. Persidangan Kepimpinan PKS 2019 selama sehari itu dianjurkan ATCEN Sdn Bhd dan menyasarkan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ketua pegawai eksekutif, pengurus besar, pengurus kanan dan eksekutif daripada pelbagai industri. Menurut penganjur, hampir 450 perwakilan akan dapat menimba ilmu daripada pakar industri, amalan terbaik mereka, cadangan penyelesaian dan mendapat pendedahan terhadap model perniagaan lebih baik sebagai sebahagian transformasi kepimpinan. -Bernama