KABINET pada Rabu sebulat suara meluluskan modal ekonomi perkhidmatan teksi motosikal GoJek-Dego Ride, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Menteri Belia dan Sukan itu mengumumkan berita gembira itu berikutan beliau sebelum ini berhasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan GoJek termasuk Dego Ride di negara ini. “Alhamdulillah! Kabinet sebulat suara meluluskan modal Ekonomi GoJek-DegoRide. Terima kasih kepada semua yang membantu dalam merealisasikan impian ini, khususnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Marilah berusaha malah lebih gigih untuk belia!,” tulisnya di laman sosial Twitter miliknya, petang Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet beri lampu hijau, GoJek bakal beroperasi di Malaysia ARTIKEL BERKAITAN: GoJek: Jangan ketepikan Dego Ride - Pengasas Bercakap kepada mStar, Pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj mengalu-alukan pengumuman positif yang dibuat oleh Kabinet pada Rabu. “Saya bangga dengan keputusan Kabinet yang memberi peluang kepada pemain tempatan dan asing. Terima kasih kepada kerajaan terutama Syed Saddiq untuk bimbing Kabinet dan pihak kementerian sebulat suara dengan isu teksi motosikal di Malaysia,” katanya. Berita gembira yang dikongsikan oleh Syed Saddiq. Nabil turut menyifatkan ia sebagai tahap yang seterusnya atau next level, berikutan Dego Ride yang ditubuhkan sejak 2016 itu sebelum ini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk diharamkan untuk beroperasi pada tahun berikutnya. “Berbaloi… ia macam pemain pasukan bola yang berlatih setiap hari lepas tu setiap tahun lawan dan setelah tiga tahun memang rasa gembira. “Alhamdulillah Dego Ride sentiasa dilihat sebagai perintis dan penggerak pertama untuk teksi motosikal dan ini hanyalah permulaan buat kami, insyaAllah,” katanya. Jelasnya, Dego Ride merancang untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan seperti pasaran khusus atau pengkhususan buat Dego Ride dan GoJek. “Cadangan tersebut bertujuan untuk memastikan kami (Dego Ride dan GoJek) dapat berkolaborasi secara sihat bersama-sama,” tambah Nabil. Dego Ride merupakan perkhidmatan teksi motosikal yang diperkenalkan pertama kali di Malaysia oleh syarikat tempatan, manakala GoJek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia. Nabil Feisal Bamadhaj. Mengenai perkhidmatan teksi motosikal membantu golongan muda menjana pendapatan, Nabil menjelaskan bahawa anak-anak muda di seluruh negara seharusnya mengambil peluang tersebut dengan baik. “Mereka perlu terima peluang baharu ini dengan hati yang terbuka. Ia bukan hanya untuk menawarkan perkhidmatan teksi motosikal tapi juga mengembangkan minda dan peluang melalui permulaan tersebut. “Sebagai contoh, menyediakan khidmat pemandu pelancong menggunakan motosikal di Langkawi,” katanya. Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof berkata Kabinet dalam mesyuarat mingguannya pada Rabu memberi lampu hijau untuk melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini. Dego Ride hangat diperkatakan apabila memulakan perkhidmatan teksi motosikal pada November 2016 sebelum ia mendapat bantahan daripada kerajaan terdahulu dan mengharamkannya daripada terus beoperasi atas faktor keselamatan. Alhamdulillah! Kabinet sebulat suara meluluskan modal Ekonomi Gojek-DegoRide. Terima kasih kepada semua yang membantu dalam merealisasikan impian ini, khususnya YAB @chedetofficial & Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Let’s work even harder for the Youths!#Gojek#YouthPower pic.twitter.com/ZM2al2cRax — Syed Saddiq (@SyedSaddiq) August 21, 2019