suria

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

Bayaran balik pinjaman PTPTN bukan sahaja menjadi kewajipan buat peminjam, bahkan boleh dijadikan sebagai insentif menarik daripada majikan kepada pekerja. Foto Bernama

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

Saban tahun, kebiasaannya akan ada bonus dan insentif tahunan apabila syarikat mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan dan perkhidmatan pekerja yang cemerlang.

Percutian, hadiah dan pelbagai ganjaran lain ditawarkan kepada pekerja. Bagaimana sekiranya  insentif bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pekerja yang juga peminjam PTPTN diperkenalkan. Satu kelainan yang menarik bukan? 

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Abdul Ghaffar Yusop berkata, insentif pelepasan cukai untuk majikan yang membayar pinjaman PTPTN pekerja diperkenalkan kerajaan pada tahun ini, menerusi pembentangan Bajet 2019.

“Menerusi insentif yang lain daripada yang lain ini, pekerja sudah tentunya berharap majikan membantu untuk membayar balik pinjaman PTPTN mereka tanpa sebarang potongan gaji. 

“Situasi ini dianggap menang-menang. Majikan disifatkan begitu prihatin kerana membantu pekerja meringankan beban kewangan pekerja dengan komitmen sedia ada yang perlu ditanggung mereka,” katanya.

Berikut adalah manfaat dan kelebihan majikan yang membantu membuat bayaran balik pinjaman PTPTN pekerja mereka:

*Penjimatan pembayaran cukai

Majikan mendapat penjimatan pembayaran cukai untuk syarikat dengan membuat bayaran balik pinjaman PTPTN pekerja. Penjimatan itu menerusi pelepasan cukai, berdasarkan jumlah bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh majikan. Sebagai contoh, sekiranya jumlah yang dibayar adalah RM50,000, maka majikan juga layak menerima nilai pelepasan cukai yang sama. 

*Pilihan bijak bonus/insentif pekerja

Sesetengah majikan memberikan bonus atau insentif tahunan apabila syarikat mencatatkan prestasi perniagaan yang menguntungkan. Antara intensif itu kebiasaannya adalah percutian/melancong, hadiah dan ganjaran wang tunai. Majikan juga boleh menjadikan insentif bayaran balik pinjaman PTPTN itu sebagai hadiah kepada kakitangan yang memberikan perkhidmatan cemerlang. Ia merupakan pilihan insentif yang bijak selain membantu mengurangkan beban kewangan pekerja. 

*Pekerja lebih setia

Apabila majikan membuat bayaran balik pinjaman PTPTN pekerja, ia sekali gus menyentuh emosi mereka. Ibarat orang berbudi, kita berbahasa. Kakitangan akan lebih setia kerana mereka berasa dihargai oleh majikan menerusi insentif tersebut.

Abdul Ghaffar memberi penerangan mengenai kelebihan majikan membantu membuat bayaran balik pinjaman PTPTN pekerja.

*Pekerja lebih bermotivasi

Tunggakan pinjaman merupakan antara faktor yang mendorong seseorang itu berdepan dengan masalah. Insentif bayaran balik pinjaman PTPTN itu sekali gus menjadikan mereka bermotivasi dan berdaya saing untuk menjadi pekerja cemerlang. 

*Imej majikan/syarikat

Membuat bayaran balik pinjaman PTPTN pekerja dapat meningkatkan lagi imej majikan dalam kalangan pekerja kerana keprihatinan mereka. Manfaat tambahan pekerja itu juga membuatkan sesebuah syarikat/majikan menjadi pilihan graduan termasuk mereka yang berpengalaman untuk memohon pekerjaan.

*Produktiviti/prestasi syarikat

Mempunyai barisan pekerja yang berdaya saing membantu mempertingkatkan produktiviti syarikat. Secara tidak langsung, ia akan menaikkan prestasi perniagaan dan menjana pendapatan yang lebih tinggi.

*Tanggungjawab sosial korporat

Melalui PTPTN, kerajaan sebelum ini memberi bantuan pinjaman kepada pelajar untuk menghasilkan modal insan terbaik bagi pasaran pekerjaan, dan kini majikan atau syarikat pula boleh membantu membuat bayaran balik pinjaman pekerja itu sebagai tanggungjawab sosial korporat, dan sumbangan mereka kepada masyarakat.

Sehubungan itu, kata Abdul Ghaffar, semua majikan yang menjalankan perniagaan dan membayar cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 layak menikmati insentif tersebut.

Jelasnya, syarat-syarat yang perlu dipenuhi majikan adalah membantu menyelesaikan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja, taraf pekerjaan pekerja adalah sepenuh masa dan pekerja tidak boleh dikenakan sebarang bayaran sebagai balasan kepada pembayaran pinjaman PTPTN yang telah dijelaskan oleh majikan.

“Tiada amaun minimum dan maksimum ditetapkan. Majikan layak menikmati potongan cukai ke atas apa jua jumlah bayaran balik yang telah dijelaskan oleh majikan sama ada bayaran ansuran setiap bulan atau penyelesaian penuh sehingga 31 Disember 2019.

“Sehubungan itu, saya menyarankan setiap majikan untuk mengambil peluang ini bagi membantu kakitangan mereka menyelesaikan pinjaman pendidikan sekali gus mendapat pelepasan taksiran cukai ke atas jumlah yang telah dijelaskan,” katanya.

Hii Ding Sin merupakan salah seorang majikan yang mengambil peluang pelepasan cukai dengan membantu membayar balik pinjaman PTPTN pekerja.

Salah seorang majikan yang merebut peluang keemasan itu, Hii Ding Sin, 46, berkata, syarikat industri, teknologi dan rangkaian, Vector InfoTech Sdn Bhd amat memerlukan pekerja yang terlatih, berkemahiran dan berpengalaman.

Bagi memastikan barisan pekerjanya berkualiti terutama dalam kalangan graduan universiti menerusi latihan pratikal di syarikatnya, beliau perlu memikirkan idea bijak yang mewujudkan situasi menang-menang bagi syarikat dan pekerja.

“Ada dua pekerja saya yang sebelum ini membuat pinjaman PTPTN dan pada masa sama mereka amat berpengalaman dan menunjukkan prestasi tinggi. Jadi, untuk mengekalkan mereka sebagai pekerja di syarikat, saya membantu membayar balik pinjaman PTPTN mereka dengan jumlah keseluruhan lebih RM64,000, baru-baru ini.

“Ia juga merupakan sumbangan saya kepada masyarakat apabila menyedari terdapat pekerja daripada golongan kurang berkemampuan, maka bantuan bayaran balik pinjaman PTPTN itu dapat meringankan beban kewangan mereka,” kata pengarah urusan Vector InfoTech Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan pada 1998 dan berpangkalan di Kuala Lumpur itu.

Menerusi komitmen itu, Ding Sin yang mempunyai kira-kira 120 kakitangan berkata, beliau bukan sahaja mendapat pelepasan cukai ke atas bayaran balik pinjaman PTPTN itu, malah dapat melahirkan barisan pekerja yang bermotivasi.

Malah, beliau memperkenalkan bantuan bayaran balik pinjaman PTPTN itu sebagai insentif tambahan kepada pekerja baharu dan sedia ada.

“Seramai 10 pekerja sedia ada bakal menikmati insentif tambahan dengan bantuan bayaran balik pinjaman PTPTN mereka secara bulanan, bermula September ini.

“Sehubungan itu, saya menyarankan kepada semua majikan di negara ini untuk turut sama-sama merebut peluang terbaik ini yang bukan sahaja mendapat intensif pelepasan cukai, malah majikan dapat melahirkan pekerja berkualiti dan seterusnya meningkatkan prestasi dan produktiviti syarikat,” ujar Ding Sin.

Untuk maklumat lanjut, majikan boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my (Portal Majikan Online).

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan