suria

Ku Jeling, Ku Juling 'teman' baharu Tunku Azizah, “siapa naik minang, hantarannya 21 dulang ok!”

Tunku Azizah berkongsi gambar kucingnya di Twitter.

PERKONGSIAN terbaharu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengenai dua anak kucing yang baharu dibelinya sekali lagi ‘mencuri’ tumpuan rakyat di negara ini.

Apa yang menarik perhatian bukan sahaja kecomelan kedua-dua anak kucing yang dimuat naik di laman Twitter Tunku Azizah itu tetapi gelaran nama ‘Ku Jeling’ dan ‘Ku Juling’ yang diberikan baginda.

“Kenalkan Yang Amat Meow Ku Jeling dan Yang Amat Meow Ku Juling...anak-anak saya!." tulis Tunku Azizah dalam ciapan yang dimuat naik.

Sehingga jam 12 tengah hari Ahad, perkongsian itu telah diulang kicau sebanyak 6,100 selain memperoleh lebih 19,600 tanda suka.

Dalam ruangan komen gambar tersebut, rata-rata netizen memuji kecomelan kedua-dua kucing ‘diraja’ itu.

Beberapa jam selepas itu, baginda sekali lagi memuat naik status berkisar tentang kucing peliharaannya yang menjadi tumpuan ramai itu.

"Kucing ku puteri dua-dua..siapa naik minang, hantarannya 21 dulang ok!," ciap Tunku Azizah.

Difahamkan, baginda membeli kedua-dua anak kucing baka Scottish Fold dan British Short Hair di sebuah kedai haiwan peliharaan di Taman Melati, Kuala Lumpur.

Terkenal dengan jolokan sebagai kerabat diraja berjiwa rakyat dalam kalangan netizen, apa sahaja perkongsian di laman sosial Tunku Azizah pastinya sering menjadi tumpuan ramai.- Sinar Harian.

Artikel Lain