suria

"Saya mengandung tapi arwah tak tahu," Balu Mejar Zahir terkejut hamil anak ke-4

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama Nour Shafinar di kediaman keluarganya di Taman Perpaduan, Ipoh.

BALU kepada Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun berasa terkilan kerana Allahyarham tidak sempat tahu mengenai kehamilannya.

Memetik laporan The Star, Nour Shafinar, 31, berkata dia hanya menyedari perkara itu selepas dua hari pemergian arwah. 

"Saya pun tak sedar perubahan diri sebab rasa macam biasa saja, rakan saya yang nampak bila tengok perubahan fizikal terutama badan dah naik.

"Malah kaunselor saya, yang juga seorang doktor bertanyakan perkara sama.

"Saya kuatkan hati dan cuba lakukan ujian menggunakan alat penguji kehamilan, dan benar saya mengandung, tetapi arwah tidak tahu," katanya dalam nada sebak kepada pemberita.

ARTIKEL BERKAITAN: Celoreng berdarah hadiah terakhir Mejar Mohd Zahir Armaya… “Sejujurnya saya dah tak sedap hati” 

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... anak Mejar Zahir ratap kematian bapa di sudut masjid, “Papa boleh hidup balik?" 

Nour Shafinar sebelum itu menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di kediaman keluarganya di Taman Perpaduan, Ipoh, pada Rabu. 

Tuanku Zara meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama Nour Shafinar dan keluarganya sebelum menyerahkan sumbangan peribadi.

Tuanku Zara berkenan berangkat mengunjungi Nour Shafinar dan menyampaikan sumbangan peribadi.

"Tuanku Zara mahu saya terus kuat untuk diri sendiri, anak-anak dan kandungan ini.

"Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepadanya kerana sudi melawat kami," katanya.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir meninggal dunia akibat terkena tembakan ketika demonstrasi latihan di Kem Lok Kawi, Sabah, 4 September lalu. 

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya.

Siasatan terhadap insiden itu mendapati ia menjurus kepada faktor kecuaian.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan beberapa individu akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Nour Shafinar juga berkata dia tidak mahu menuding jari kepada sesiapa berhubung insiden itu.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa, bagi saya, ia hanya satu kemalangan semasa latihan, mereka semua penembak tepat dan mereka tahu risiko tetapi kita tidak pernah tahu apa yang akan berlaku," katanya.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir, 36, meninggalkan isteri dan tiga orang anak termasuk seorang bayi lelaki berusia enam bulan dan dua anak dari perkahwinan sebelumnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain