DUA pekerja kilang elektronik, di sini, maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat roda Toyota Fortuner di Jalan Astana, Petra Jaya, Kuching pagi Sabtu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata dalam kejadian kira-kira 5.50 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu pemandu Recco Juiem, 33, dan penumpang, Salome Michael Abang, 34, masing-masing merupakan warga tempatan, maut serta merta ditempat kejadian. Manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 43 tahun, juga warga tempatan, tidak mengalami sebarang kecederaan. “Pemandu dan penumpang kancil terbabit yang cedera dibahagian kepala, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak. Mayat kedua-duanya telah dibawa ke rumah mayat HUS untuk bedah siasat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil berkenaan telah terbabas dan masuk ke laluan Toyota Fortuner sebelum berlanggar secara bertentangan. Tambahnya siasatan masih dijalankan di bawah Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA