SEBANYAK 538 buah sekolah di daerah Petaling Perdana, Klang, Kuala Selangor, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Petaling Utama, diarahkan tutup pada Rabu. Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata penutupan itu susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Shah Alam, Putrajaya, Petaling Jaya dan Klang melebihi 200. Penutupan itu membabitkan 52 sekolah di Sepang, Hulu Langat (61), Kuala Langat (21), Gombak (23), Petaling Perdana (139), Petaling Utama (86), Kuala Selangor (5), Sabak Bernam (18) dan Klang (133). Seramai 584,595 pelajar turut terbabit dalam penutupan sekolah berkenaan. “Adalah diingatkan sekiranya pihak sekolah mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, pihak sekolah perlu mengambil tindakan selaras dengan arahan KPM dengan menutup sekolah serta-merta sehingga keadaan kembali pulih,” katanya. Sementara itu, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 10 pagi ini, bacaan IPU di Shah Alam adalah 221, Petaling Jaya (206), Klang (199), Kuala Selangor (196) dan Banting (183). Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). - BERNAMA