suria

Bidaan nombor ALL 1 paling top!

Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah menunjukkan siri pendaftaran ALL 1 yang dibuka untuk bidaan bermula Khamis.

HANYA dalam tempoh beberapa jam, nombor pendaftaran kenderaan, ALL 1 mencatat bidaan tertinggi di Perak sejak siri 'ALL' dibuka bermula Khamis.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Severinus Tukah berkata bagaimanapun nilai bidaan tidak dapat dipastikan kerana bidaan akan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya, keseluruhannya sejumlah 740 orang telah membida nombor pendaftaran kenderaan untuk negeri Perak, setakat pukul 4.30 petang, Khamis.

"Kutipan bidaan tempahan bagi nombor pendaftaran siri itu melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang dibuka selama lima hari itu hampir mencecah sasaran pada hari pertama iaitu melebihi RM900,000.

"Jumlah kutipan ini melibatkan sebanyak 3,142 transaksi setakat petang ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Beliau berkata, JPJ Perak menyasarkan bidaan keseluruhan bagi siri itu melebihi RM1 juta melalui pelaksanaan kali pertama JPJeBid di negeri ini.

Sebelum ini, siri nombor pendaftaran yang lepas yang dibida secara manual iaitu AKU mengutip RM3.1 juta dan merupakan kutipan tertinggi bagi JPJ Perak setakat ini.

Selain itu, nilai bidaan dan jualan bagi siri ALA pula merekodkan RM1.6 juta diikuti ALE sebanyak RM1.1juta.

Orang ramai yang berminat boleh membida nombor yang diminati dengan bayaran Fi Perkhidmatan sebanyak RM10 untuk mengakses sistem secara dalam talian menggunakan aplikasi JPJebid atau melalui portal https://jpjebid.jpj gov.my/ebid/.-- Bernama

JPJ, ALL, Perak

Artikel Lain