suria

Timbalan menteri di JPM meninggal dunia

Dr Md Farid meninggal dunia akibat serangan jantung.

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia kira- kira pukul 6 pagi Sabtu.

Menurut posting Facebook Kelab Che Det, Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau merupakan timbalan menteri di JPM yang bertanggungjawab menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Sementara itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang  memberitahu beliau sendiri terkejut mendengar berita kematian Dr Md Farid ini.

"Saya menerima panggilan telefon diberitahu tentang kematian Dr Md Farid.

"Beliau berada di rumah ibunya di Serkat ketika insiden berlaku," katanya.

Allahyarham akan dikebumikan di Serkat selepas solat Zohor.

Difahamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka hadir memberi penghormatan terakhir.

Md Farid memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng dengan memperolehi 21,255 undi.

Artikel Lain