suria

MySinbad pertama di Malaysia, rangkaian hub mini logistik komprehensif ahli koperasi

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof melancarkan portal e-dagang MySinbad milik Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad di Tamarind Square, Cyberjaya Sabtu lalu. Turut hadir, Pengerusi Eksekutif, Datuk Nordin Salleh dan Penasihat Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad, Datuk Seri Yahya Hussin.

SEBUAH portal e-dagang khusus untuk koperasi yang pertama di negara ini, dilancarkan di bandar pintar Cyberjaya.

MySinbad, portal e-dagang dan aplikasi pintar yang dibangunkan Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad dan dikawal selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dilancarkan sempena perasmian Countdown Hala Tuju Koperasi Selepas 100 Tahun Sabtu lalu.

MySinbad dibangunkan bagi memperkasa anggota koperasi serta memasarkan lebih 1,000 produk koperasi di bawah satu rangkaian hub mini logistik komprehensif yang beroperasi di seluruh Malaysia.

Ia bakal dimanfaatkan oleh lebih 14,000 koperasi di seluruh negara untuk memasarkan produk mereka terutama barangan keperluan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad, Suli Koid berkata, pihaknya mengambil langkah membangunkan portal MySinbad ini adalah sebagai menyambut seruan Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk membangunkan stor digital koperasi.

Ia turut menerima sokongan teknikal pintar dari syarikat pembangun portal dan aplikasi, One Link Card Holding Berhad serta dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Portal ini, dari koperasi untuk koperasi, adalah percuma khusus bagi koperasi dalam memasarkan produk mereka sekali gus dapat memanfaatkan lebih 6.5 juta anggota koperasi selain pengguna lain mendapatkan barangan keperluan tanpa melalui orangtengah.

“Kewujudan kemudahan ini sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidup sejajar dengan hasrat kerajaan terutama dalam membantu golongan B40,” katanya selepas pelancaran itu pada Sabtu lalu.

Terdapat enam kategori bisnes koperasi iaitu perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, pertanian dan industri asas tani, perladangan dan pembangunan hartanah.

Suli berkata, enam kategori bisnes koperasi adalah asas utama keperluan di negara ini dan Mysinbad akan menjadi platform penjualan runcit terus kepada pengguna.

“Harga yang ditawarkan berkisar pada 10 hingga 25 peratus lebih rendah daripada harga di pasaran memandangkan ia diperoleh terus daripada koperasi tanpa membabitkan orang tengah.

“Usaha ini adalah manifestasi kepada perancangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang bakal menyambut ulang tahun 100 tahun pada 2022 ke arah digitalisasi koperasi dan keluar dari kepompong tradisional koperasi atau dari desa ke alam maya,” katanya.

MySinbad akan menjadikan Tamarind Square di bandar pintar Cyberjaya sebagai ibu pejabat sejajar dengan pengisytiharan pusat komersil itu sebagai Bandar Koop atau Coop City oleh Perdana Menteri.

“Pemahaman tradisional terhadap koperasi adalah peminjam wang walhal banyak koperasi yang mengusahakan pelbagai bisnes dan perkhidmatan dan melalui pengwujudan MySinbad akan dapat mempromosikan penawaran perkhidmatan danbisnes mereka.

“Manakala dengan jumlah lebih 14,000 koperasi di seluruh negara, kita merencanakan ia akan dapat mengurangkan kos logistik apabila kita dapat berkerjasama dengan mereka untuk mewujudkan hub mini logistik di hampir setiap ceruk negara ini,” tambahnya.

Pelancaran tersebut disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Tamarind Square, Cyberjaya.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh dan Penasihat Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad, Datuk Seri Yahya Hussin pada majlis yang dihadiri lebih 20,000 anggota koperasi dari seluruh negara.

Orang ramai boleh melayari portal e-dagang ini di www.mysinbad.com atau memuat turun aplikasi telefon pintar di Google Play dan App Store. 

MySinbad, koperasi, pertama, Malaysua

Artikel Lain