"SECEBIS sumbangan, menyinari berjuta impian", demikian pegangan Sujana Mohd Rejab atau lebih mesra disapa Pak Su Delta ketika mangambil keputusan untuk meninggalkan dunia pendidikan bagi meneruskan impiannya membantu golongan kurang upaya. Berusia 51 tahun, Pa Su mula mendapat perhatian apabila berjaya mencipta tangan robotik berasaskan teknologi 3D bagi membantu golongan OKU sejak 2014. Dengan hanya belajar menerusi 'Mr. Google' dan 'Professor of YouTube', bekas guru ini akhirnya berjaya melakar nama dalam industri ini. ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-Kanak Gembira Dapat Tangan Bionik ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar OKU Terima Tangan Robotik Idea ini tercetus selepas Pak Su terlihat satu artikel mengenai seorang kanak-kanak dari Amerika Syarikat menerima tangan 3D secara percuma. Dua kanak-kanak mengukir senyuman tanda syukur selepas menerima tangan robotik. "Projek ini bermula dari 2014 lagi. Masa tu saya terlihat satu artikel mengenai seorang kanak-kanak menerima tangan 3D secara percuma. Jadi, dari situlah saya mula terfikir untuk menghasilkan tangan 3D yang dicetak. "Dan saya juga memuat naik satu rekaan tangan di laman Facebook untuk mencari sesiapa sahaja yang bersedia untuk mencubanya. Namun, tidak ramai yang berminat. "Lepas lapan bulan saya putuskan untuk berikan kepada seorang kanak-kanak bernama Ainaa Amanda yang berumur tujuh tahun selepas mendapat tahu dia tidak mempunyai tangan. Dari situlah, tangan 3D saya menjadi viral," kata beliau kepada mStar mengenai produknya yang berjaya menarik perhatian ramai. Menurut Pak Su, Projek Tangan 2020 merupakan rekaan terbarunya iaitu tangan elektronik cetakan 3D yang direka khas menggunakan perisian 3D dan sensor bagi mereka yang memerlukan. Setelah melakukan penambahbaikan rekaan terbaru ini ia boleh memudahkan penggunanya seperti mengikat tali kasut, menggenggam botol air mineral bersaiz kecil dan menulis menggunakan pen bersaiz besar seperti pen ‘marker’. SUJANA MOHD REJAB PENCIPTA TANGAN ROBOTIK “Asalnya produk ini diadaptasikan dari Jepun. Dan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengambil masa hampir enam bulan meliputi semua proses ubah suai termasuk komponen perkakasan serta perisian untuk menghasilkan tangan yang boleh berfungsi seakan-akan tangan manusia normal yang 100 peratus dihasilkan oleh saya sendiri," jelasnya yang menghasilkan tangan 3D jenis mekanikal dan elektronik. Tangan robotik dicipta khas buat kanak-kanak OKU. Tambahnya lagi, rekaan bagi Projek Tangan 2020 berbeza dengan rekaan sebelum ini yang menggunakan tali dan getah, malahan ia memerlukan individu itu menggerakkan anggota badan lain serta jari jemarinya. "Oleh itu, setelah melakukan penambah baikkan rekaan terbaru ini ia boleh memudahkan penggunanya dalam kehidupan harian seperti mengikat tali kasut, menggenggam botol air mineral bersaiz kecil dan menulis menggunakan pen bersaiz besar seperti pen ‘marker’. "Selain itu, menariknya ia menggunakan motion sensor yang diprogram khas untuk menghasilkan pergerakan," jelasnya yang merupakan salah satu daripada 10 pemenang Anugerah Star Golden Hearts 2019, anugerah tahunan yang dianjurkan akhbar The Star dan Yayasan Gamuda. Kemenangan itu membolehkan beliau memperoleh trofi Anugerah Inspirasi Star-Gamuda dan wang tunai RM50,000. Seiring matlamat untuk membantu golongan berkeperluan khas, Pak Su merancang untuk menyumbang separuh daripada wang tersebut kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai keupayaan dan separuh lagi akan digunakan untuk kajian dan pembangunan menerusi projeknya pada tahun 2020.