suria

KPN tahu di mana lokasi Jho Low, mahu bawa pulang menjelang akhir tahun ini

Jho Low kini dipercayai sedang berlindung di sebuah negara.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu berkata mereka mengetahui lokasi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho dan berhasrat membawanya pulang menjelang hujung tahun ini.

Ia bagi membolehkan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaksanakan.

"Saya akan cuba yang terbaik untuk mempercepatkan proses itu. Harapnya kita boleh bawa dia pulang sebelum akhir tahun ini," ujar Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menerusi forum siaran langsung sebuah televisyen.

Tambahnya, dia percaya Low dipercayai mendapat pelindungan di sebuah negara.

"Dia bebas bergerak dan berniaga di negara itu. Jho Low manusia yang paling dikehendaki licik dan mempunyai agenda jahat serta menggunakan wang untuk beli pengaruh.

"Kami tahu di mana dia, kami sedang berunding dengan negara itu, namun saya yakin akan dapat membawa balik Jho Low tidak lama lagi," katanya

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan nama negara tersebut.

Malah, dia juga yakin pihak berkuasa negara ini mampu membawa pulang Jho Low ke Malaysia.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat turut mendakwa  AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) telah disalahgunakan daripada 1MDB - The Star.

Artikel Lain