suria

Wah! Cuti bersalin 98 hari sektor swasta dicadang

Cadangan cuti bersalin dari 60 hari kepada 98 hari untuk sektor swasta. Gambar sekadar hiasan

KEMENTERIAN Sumber Manusia mencadangkan jumlah cuti bersalin bagi sektor swasta dinaikkan dari 60 kepada 98 hari.

"Majikan akan menanggung kos elaun bersalin selama 19 hari manakala baki 19 hari adalah cuti tanpa gaji," kata kementerian itu, merujuk kepada tambahan 38 hari cuti bersalin.

Pada masa ini, majikan hanya 'digalakkan' untuk mengikuti pengumuman Bajet 2018 untuk menaikkan cuti bersalin bagi sektor swasta kepada 90 hari.

Dalam sektor perkhidmatan awam, pekerja wanita layak mendapat 90 hari cuti bersalin.

Langkah terbaharu daripada kementerian itu selepas laporan Bank Dunia berjudul "Memecah Halangan: Ke Arah ­Peluang Ekonomi Yang Lebih Baik Buat Wanita di Malaysia" yang dikeluarkan pada 27 September yang menyoroti kesukaran yang dihadapi oleh wanita di pasaran buruh. 

"Salah satu langkah penting yang diambil oleh kementerian untuk meneliti cadangan pembaharuan adalah meningkatkan jumlah cuti bersalin dari 60 kepada 98 hari, bersamaan dengan 14 minggu, di bawah Akta Kerja," menurut kementerian itu kepada Sunday Star.

"Selain itu, turut dicadangkan adalah majikan tidak boleh menamatkan khidmat pekerja yang hamil melainkan majikan dapat membuktikan bahawa penamatan khidmat tersebut bukan disebabkan kehamilan," katanya.

Cadangan pindaan kepada undang-undang mesti terlebih dahulu diserahkan untuk kelulusan Kabinet.

Pada masa ini, belum ada tarikh yang diberikan untuk Kabinet memutuskan perkara itu. - The Star

Artikel Lain