KOS sara hidup semakin meningkat hari ini, dan kerajaan prihatin untuk memberikan subsidi bagi mengurangkan beban rakyat. Namun, adakah rakyat menyedari bahawa kerajaan selama ini memberikan subsidi kepada barangan terkawal yang menjadi keperluan saban hari? Beras, minyak masak, tepung dan bahan api petrol RON95 sebenarnya antara senarai barangan yang disubsidikan oleh kerajaan. Nasi yang kita makan, minyak yang digunakan untuk memasak dan petrol untuk perjalanan kita sehari-sehari ke tempat kerja atau ke mana sahaja itu semuanya barangan bersubsidi. Pelaksanaan subsidi diharapkan dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat, menerusi pembiayaan kecil berdasarkan peruntukan kerajaan terhadap sesuatu barangan keperluan itu. Subsidi diharapkan dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. Subsidi bukanlah pembiayaan sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban rakyat. Walau sekecil manapun nilainya, ia tetap subsidi demi kesejahteraan rakyat. Pemberian subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mencapai beberapa tujuan strategik dan ia tidak semestinya dalam bentuk tunai atau barangan kepada rakyat. Terdapat juga subsidi baja yang disasarkan untuk golongan petani dan subsidi diesel untuk nelayan. Kebanyakan subsidi diberikan melalui pertanian sebagai permulaan kepada golongan petani memulakan aktiviti pertanian dan mereka kemudian meningkatkan usaha mengembangkan sektor berkenaan. Subsidi petrol RON95 adalah berdasarkan harga minyak mentah dunia dan sistem apungan menerusi Mekanisme Harga Auotmatik (APM). Foto Azman Ghani Begitu juga dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang disalurkan dalam bentuk tunai terus kepada golongan B40. Pemberian BSH merupakan antara langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha menjamin kebajikan dan kualiti hidup rakyat. Malah, subsidi turut diberikan dalam bentuk kawalan harga seperti harga petrol dan gas petroleum cecair (LPG) kerana tanpa subsidi, harga petrol akan lebih tinggi mengikut harga apungan pasaran terbuka. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam kes subsidi petrol RON95, ia berdasarkan harga minyak mentah sedunia dan sistem apungan menerusi Mekanisme Harga Automatik (APM). “Sepatutnya harga petrol RON95 di pam adalah sekitar RM2.38 seliter berbanding dengan harga runcit bersubsidi sekitar RM2.08. “Ini bermakna kerajaan memberi subsidi 30 sen setiap liter petrol RON95 yang masuk ke tangki kenderaan,” ujar Saifuddin. Saifuddin Nasution Ismail. Foto Mohd Sahar Misni Subsidi yang diperuntukkan kerajaan untuk rakyat disalurkan terus kepada golongan sasar. Berikut adalah lima manfaat subsidi: 1. Saluran subsidi disampaikan terus kepada yang layak. 2. Penerima subsidi adalah rakyat Malaysia. 3. Subsidi mengurangkan beban fiskal kerajaan. 4. Mengurangkan kebocoran menerusi aktiviti penyeludupan. 5. Penjimatan dapat digunakan untuk projek rakyat. Manfaat subsidi yang disalurkan kepada rakyat. Pelaksanaan subsidi menjadikan harga barangan keperluan lebih murah dan dinikmati oleh golongan sasar iaitu mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Sehubungan itu, kata Saifuddin, terdapat subsidi disalurkan terus kepada penerima yang disasarkan dan juga diberi kepada pengeluar serta pemain industri. Langkah itu menurutnya untuk memastikan harga barangan tersebut terkawal dan terjangkau oleh rakyat. “Secara keseluruhan, subsidi itu bertujuan untuk meringankan beban rakyat dan menjadi satu pendekatan yang paling sesuai dalam pengagihan kekayaan secara saksama,” katanya. Beliau bagaimanapun berkata, tidak semua rakyat menghargai subsidi yang diberikan oleh kerajaan. “Walaupun ia mungkin tidak sebesar mana, subsidi tetap subsidi. Yang lebih malang bila subsidi disalahgunakan,” tambahnya. Terdapat subsidi disalurkan terus kepada penerima yang disasarkan dan juga diberi kepada pengeluar serta pemain industri. Menurut Saifuddin, kerajaan harus berfikir secara strategik dan bijak dalam pelaksanaan subsidi terutama dalam bentuk pengawalan harga barang terkawal seperti beras, tepung, minyak masak dan petrol RON95. Jelasnya, ia supaya subsidi itu benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia bagi golongan sasar dan pada masa sama fiskal kerajaan tidak terjejas teruk. Sehubungan itu, pemberian subsidi adalah bertujuan untuk keselesaan serta kemudahan rakyat bagi menjalani kehidupan harian. Inisiatif tersebut sekali gus dapat menyaksikan beban sara hidup rakyat diringankan demi kesejahteraan mereka.