suria

Gajah ditemui tanpa gading, disyaki ditembak di ladang kelapa sawit

Keadaan bangkai haiwan itu yang ditemui di Beluran. FOTO: BERNAMA.

SEEKOR gajah pigmi dewasa ditemukan mati disyaki ditembak di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, Sandakan, Sabah pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda malam ini, bangkai haiwan itu ditemukan tanpa gading dan dipercayai telah mati selama lima hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Gajah berusia 70 tahun diseksa hingga kurus, dipaksa pakai kostum untuk festival di Sri Lanka

"Pekerja Ladang Bimbingan 2, Beluran telah menghidu bau busuk di kawasan ladang terbabit yang akhirnya membawa kepada penemuan bangkai gajah pigmi jantan itu dianggarkan berusia lingkungan 25 tahun, mempunyai berat 2.5 tan.

Semasa bedah siasat telah mengesan beberapa luka lama dipercayai kesan tembakan pada bahagian punggung gajah tersebut namun tidak menembusi bahagian kulit. Punca kematian masih belum dikenal pasti," katanya.

Kasim berkata suspek belum dikenal pasti dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Beluran untuk membantu siasatan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 25(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memburu haiwan dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran Jabatan Hidupan Liar Sabah, katanya.

Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Hidupan Liar negeri Augustine Tuuga mengesahkan bangkai gajah pigmi itu ditemukan oleh pekerja ladang berkenaan sekitar pagi semalam dan segera menghubungi pihak berkuasa.

"Penemuan ini amat menyedihkan. Bedah siasat telah dijalankan di tempat penemuan bangkai tersebut," katanya.

Pada 25 September lepas, bangkai seekor gajah pigmi ditemukan di Sungai Udin Dumpas, Kalabakan, Tawau juga dengan kesan tembakan, yang mana enam individu ditahan untuk membantu siasatan. - BERNAMA

gajah pigmi, Beluran, bangkai, gading

Artikel Berikut

Artikel Lain