suria

Penggunaan peluru hidup untuk latihan komando diteruskan, kata Mohamad Sabu

Menurut Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, penggunaan peluru hidup untuk latihan komando atau pasukan  Grup Gerak Khas (GGK) akan diteruskan untuk meningkatkan kompetensi anggota pasukan itu. Foto: Bernama

PENGGUNAAN peluru hidup untuk latihan komando atau pasukan  Grup Gerak Khas (GGK) akan diteruskan untuk meningkatkan kompetensi anggota pasukan itu, Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan penggunaan peluru hidup sememangnya dilaksanakan oleh pasukan khusus serata dunia kerana ia mampu melahirkan anggota yang berkeyakinan tinggi bagi menghadapi operasi khusus terutama semasa operasi menyelamatkan tebusan dalam situasi serangan.

Bagaimanapun, katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meneliti dan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP)  latihan  melalui penubuhan sebuah pasukan khas untuk mengelak perkara yang menimpa Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya berulang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Mejar Zahir: Ada faktor kecuaian? Polis ambil keterangan 11 anggota tentera 

ARTIKEL BERKAITAN: “Hanya anggota komando sahaja menerima latihan begini” - Ramai pertikai kenapa guna peluru hidup, ini jawabnya! 

“Dari segi risiko latihan menggunakan peluru hidup, pihak kementerian tidak menafikan ada risiko yang terpaksa dihadapi oleh anggota yang terlibat dengan latihan sebegini.

“Namun ia setimpal dengan hasil yang diperolehi berdasarkan kemampuan 21 Grup Gerak Khas menyediakan pegawai dan anggota yang berkeyakinan tinggi dan bermotivasi untuk terus melaksanakan misi-misi khusus dan strategik negara," katanya dalam sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ingin tahu sama ada terdapat keperluan perubahan SOP bagi sebarang pertunjukan bersenjata yang dilakukan ATM susulan kematian seorang pegawai tentera.

Dalam kejadian 4 September lalu Allahyarham Mejar Mohd Zahir yang merupakan pegawai komando dari 11 Grup Gerak Khas (11 GGK) terkorban ketika gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah.

SOP latihan dan arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh ATM sebelum ini adalah terperinci dan menyeluruh dalam menjamin keselamatan latihan dan ia merangkumi aspek pentadbiran, pelaksanaan, keselamatan latihan dan demonstrasi yang dilaksanakan.

Menyentuh tentang piawaian baju kalis peluru yang digunakan semasa demonstrasi berkenaan pula, Mohamad menjelaskan ia mengikut piawaian Tahap III (7.62mm) Institut Keadilan Negara Amerika Syarikat di mana ia sesuai digunakan untuk operasi dan Latihan Tempur Jarak Dekat Tentera Darat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mengenai risiko baju kalis peluru diguna pakai anggota ATM ketika latihan ketenteraan.

Pada masa yang sama, Mohamad berkata, kertas siasatan berhubung kes itu juga telah lengkap dan telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara sama ada perlu tindakan lanjut atau sebaliknya - BERNAMA

peluru, Mohamad Sabu, komando

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain