suria

Gading gajah ditemui, siasatan hampir selesai

Seekor gajah pigmi dewasa yang ditemukan mati disyaki ditembak di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, Sandakan, Sabah pada Ahad lalu. Foto: The Star

PIHAK berkuasa hampir menyelesaikan siasatan berhubung kes seekor gajah pigmi dewasa yang ditemukan mati disyaki ditembak di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, Sandakan, Sabah pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, ia susulan penemuan gading mamalia tersebut, namun menambah masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lain kerana kes itu masih dalam siasatan.

“Berita terkini yang saya dapat malam tadi dalam pembunuhan gajah itu, adalah mereka telah menemui gading.

“Tetapi dalang  di sebalik kejadian ini masih disiasat. Pada masa ini, saya tidak boleh mendedahkan lebih banyak untuk tidak mengganggu proses penyiasatan kerana kami cuba menangkap dalangnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gajah ditemui tanpa gading, disyaki ditembak di ladang kelapa sawit

Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan seminar kesedaran Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) pada Khamis.

Sementara itu Polis Beluran dalam satu kenyataan berkata, gading itu ditemui di dalam semak oleh penduduk kampung di ladang Bimbingan 2 IOI, lokasi berhampiran gajah itu ditemui mati.

Bangkai seekor gajah pigmi dewasa yang ditemukan mati disyaki ditembak di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran.

Walaupun terdapat luka tembakan yang ditemui pada gajah tersebut, polis berkata punca kematian mamalia itu masih sedang dikenalpasti.

Ini adalah pembunuhan gajah kedua dalam tempoh sebulan.

Pada 25 September lepas, bangkai seekor gajah pigmi ditemukan di Sungai Udin Dumpas, Kalabakan, Tawau juga dengan kesan tembakan, yang mana enam individu ditahan untuk membantu siasatan. - The Star Online

gajah, Beluran, gading

Artikel Lain