SYARIKAT media gergasi tanah air, Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan akan melaksanakan transformasi perniagaan dan penstrukturan semula dalaman yang dijangka selesai pada suku pertama 2020. Media Prima dalam kenyataan yang dikeluarkan petang Jumaat bagaimanapun memberi jaminan akan memastikan kesemua warga kerja yang terjejas ekoran daripada usaha transformasi itu, menerima pakej pampasan yang adil dan saksama. “Kesemua warga kerja terjejas akan menerima pakej pampasan yang adil dan saksama seperti ditetapkan oleh undang-undang serta kesatuan masing-masing dan akan dibayar secara penuh selepas mereka menunaikan segala keperluan perundangan,” menurut kenyataan itu. Pelaksanaan penstrukturan itu dibuat Media Prima bagi membolehkan kumpulan berkenaan lebih berdaya saing dan mampan pada masa hadapan, berikutan suasana makro ekonomi yang tidak menentu dan gangguan perubahan landskap media global. ARTIKEL BERKAITAN: Operasi 80 tahun berakhir, kakitangan Utusan Malaysia diminta kemas barang, pulangkan harta syarikat Media Prima memiliki 100 peratus kepentingan ekuiti dalam TV3, NTV7, 8TV dan TV9. Kumpulan itu juga adalah pemilik The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, penerbit terbesar tiga akhbar nasional Malaysia - New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro. Menurut kenyataan itu, Media Prima akan menyediakan khidmat sokongan kepada warga kerja termasuk perkhidmatan penempatan keluar (outplacement) dan kaunseling kerjaya. Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan pemberhentian petugas kumpulan konglomerat media itu dan desas-desus mengenainya semakin kencang sejak pagi tadi. Dalam pada itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) New Straits Times Press (NSTP) dalam kenyataan berasingan menjelaskan pemberhentian kerja akan membabitkan siapa masuk kemudian akan keluar dahulu atau LIFO (Last In First Out) dan juga berdasarkan beberapa faktor, antaranya kesihatan dan disiplin. “Jumlah yang terbabit dalam pemberhentian akan dibincang dengan pihak pengurusan dan senarai akan dikeluarkan pada akhir Disember. “Ia akan membabitkan setiap jabatan, termasuk kakitangan mahupun pihak pengurusan. Ada unit yang akan dikecilkan dan ada unit yang akan ditutup,” menurut kenyataan yang diedarkan. Menurut kesatuan itu juga, sesi dialog bersama pihak pengurusan akan diadakan pada 15 November ini. - BERNAMA