PIHAK yang terbabit dengan sesi penggambaran di sebuah tanah perkuburan Krisitian baru-baru ini boleh dihukum penjara dan denda kerana menceroboh. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asistan Komisioner Md Yusof Ahmad berkata mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara setahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Menurut Md Yusof, pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada pihak yang terlibat termasuk pemilik butik pengantin terbabit. ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin berbaju songket posing di tanah perkuburan, pemilik butik akui kesilapan – “Saya hanya mahu ambil gambar ‘rare’, kubur-kubur mereka pun nampak cantik” “Setakat ini tiada siapa yang ditangkap kerana kami hanya menyoal mereka yang terlibat. “Walaupun pemilik butik pengantin telah membuat permintaan maaf secara terbuka mengenai perkara itu, polis masih akan terus menyiasat kes itu,” katanya pada Khamis. Beliau menambah pemilik butik pengantin itu dalam kenyataannya berkata dia hanya mahu melakukan sesuatu yang ‘luar biasa’. “Bagaimanapun perbuatan menceroboh ke tanah perkuburan agama lain telah menjadi isu sensitif,” tambahnya. Turut dipersoalkan, kata Md Yusof adalah individu yang merekod video dan berkongsi kandungan yang menyinggung di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998. Mereka yang bersalah bakal berdepan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Sebelum ini gambar beberapa wanita berpakaian pengantin dalam satu sesi penggambaran di sebuah tanah perkuburan Kristian menjadi tular di laman sosial. Ia menimbulkan kekecohan di mana rata-rata netizen meluahkan rasa marah dan kesal ekoran sikap tidak sensitif mereka yang terbabit. Sementara itu Paderi Gereja St. Louis Kluang, Monsignor Peter Ng berkata terdapat rancangan untuk meningkatkan keselamatan di kubur Katolik di Jalan Rambutan. “Pihak gereja tahu orang luar berada di tanah perkuburan hari itu dan mengambil gambar dan video. “Saya bercakap dengan mereka dan menasihati mereka supaya tidak menerbitkan apa-apa dalam talian,”katanya. Beliau menambah, wanita itu memohon maaf dan tidak lama kemudian. “Kami telah memaafkan mereka,” katanya. Pemilik butik pengantin, Nur Amirah Mohd Amiruddin, 26, terbaharu tampil dengan video permohonan maaf dan menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden terbabit. “Tolong jangan salahkan model, jurugambar dan artis solek, mereka tidak tahu apa-apa, dan saya mengakui apa yang saya lakukan adalah salah. “Saya harap gambar dan video boleh dipadam, walaupun saya tahu ia mustahil,” katanya dalam video berdurasi 5.55 minit itu. Nur Amirah juga telah menyahaktifkan akaun Facebooknya dan menutup halaman Instagramnya daripada tatapan umum. Bagaimanapun, segelintir netizen tidak berpuas hati dengan permintaan maaf Nur Amirah. - The Star