suria

KPDNHEP tangkas, proaktif demi rakyat dan pengguna - Muez

Seorang pengguna membeli minyak masak, barang keperluan yang disubsidi oleh kerajaan. Foto SAMUEL ONG

PELBAGAI usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah dan terus dilaksanakan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat termasuk melindungi hak pengguna.

Sebagai rakyat Malaysia, kemerdekaan dan keamanan negara yang dinikmati hari ini terserlah dalam pelbagai bentuk serta hak pengguna yang sentisa dilindungi.

Terutamanya terhadap barang asas keperluan pengguna yang disubsidi oleh kerajaan termasuk beras, gula, minyak masak, tepung dan gas petroleum cecair (LPG).

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz berkata, ekonomi Malaysia makmur dengan bekalan bahan asas seperti petroleum, LPG, minyak masak, ayam, daging dan telur yang mencukupi dan itulah yang sebenarnya yang menghidupkan ekonomi negara.

“Kita bebas membeli gula, petrol, minyak masak dan tepung tanpa perlu menyimpan dan mencatu bahan makanan tersebut di mana semua bahan makanan boleh diperolehi pada kadar harga yang munasabah dengan kawalan bekalan, harga dan suntikan subsidi dari kerajaan.

“Cuma adakalanya harga sesuatu barang itu turun naik mungkin hasil daripada sikap nakal sebahagian kecil peniaga yang menyorok barang keperluan atau mengaut keuntungan keterlaluan di luar batasan,” katanya.

Muez Abd Aziz. Foto Bernama

Muez berkata, timbul pelbagai spekulasi dan tindakan pembelian panik yang menambahkan kegelisahan dan mungkin kemarahan di pihak pengguna sehingga kerajaan dipersalahkan.

“Di sinilah peranan KPDNHEP memantau 24 jam seminggu dan jika perlu tindakan pantas  daripada pasukan penguatkuasa kementerian yang telah terbukti berjaya mengatasi masalah ini.

“Pemeriksaan di premis perniagaan dan pasar borong adalah sebahagian gerak kerja yang dilakukan kementerian.

“Kadang kala pasaran kita dilonggok dengan  barangan pelik seperti ghost smoke, vape pelbagai perisa yang entah dari mana masuk menerobos ke negara,” katanya sambil menambah bahawa ketangkasan penguatkuasa KPDNHEP dalam menanganinya dengan tangkas dan baik adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

KPDNHEP menduduki tangga pertama daripada 16 kementerian yang cemerlang dalam pengurusan kewangan pada 2018 merupakan anugerah Allah SWT dan buktinya keberkesanan jentera kementerian  sebaik beliau diamanahkan sebagai ketua setiausaha KPDNHEP pada 8 Januari 2019.

Menurut Muez, ia merupakan usaha bersama semua warga kementerian dan beliau yakin warga kementerian akan terus berjuang mengekalkan kedudukan yang cemerlang di tahun mendatang.

Jelasnya, KPDNHEP kini juga bersedia untuk menghadapi cabaran pelaksanaan program subsidi bersasar petrol RON95, Belanjawan 2020 dan Rancangan Malaysia ke-12.

“Kementerian ini akan sentiasa peka dan proaktif terhadap apa jua aduan kenaikan harga, kos sara hidup ataupun kekurangan bekalan makanan.

“Semuanya akan ditangani secara bersama kerana saya yakin seperti kata Henry Ford ‘Coming together is a beginning. Keeping together is progress. Working together is success’,” katanya.

Muez (kanan) membantu menjual minyak masak lima kilogram yang dijual pada harga RM10 berbanding harga asal RM16.99 pada sesi 'happy hour' Karnival Jualan i-KeeP 'Pulun Belanja' di Dataran Sungai Kuah, Langkawi pada 15 November lalu. Foto Bernama

Beliau menambah, KPDNHEP juga berjaya memastikan bekalan bahan makanan utama mencukupi di samping harga kekal berpatutan sepanjang musim perayaan.

Muez berkata, kementerian sentiasa mengalu-alukan perubahan yang progresif, idea segar dan eksperimental dalam menjayakan aspirasi kerajaan.  

Jelasnya, ia dapat dilihat dengan penubuhan program Food Bank Malaysia, satu inisiatif yang diperluaskan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Program Food Bank Malaysia merupakan titik permulaan kepada usaha kerajaan meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan di kalangan rakyat.

“Langkah ini merupakan satu tindakan avant garde yang dipandang biasa pada permulaannya namun kini memberikan impak mendalam dan berkesan kepada mahasiswa  yang memerlukan bantuan di seluruh IPTA dan penerima isi rumah daripada golongan B40 iaitu melebihi 300,000 penerima dan 6,700 mahasisiwa.

“Jumlah ini tentunya satu jumlah yang akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa, mungkin kita akan memperluaskan penyaluran Food Bank melalui badan-badan kebajikan berdaftar dan rumah-rumah ibadat.

“Idea mini Food Bank dicadangkan untuk dilaksanakan di setiap kementerian, agensi kerajaan dan tempat yang mudah diakses agar bilangan penerimanya akan meningkat dan capaian jaringan penerimaan lebih meluas. Ini akan diperhalusi demi kebajikan rakyat iaitu pengguna,” ujarnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kiri) dan isteri Datin Seri Norhayati Musa (kiri) melawat Food Bank Siswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK Prof Dr Zaliman Sauli (dua, kanan). Foto Bernama

Muez berkata, kerjasama itu juga merupakan dokongan kuat daripada industri yang merupakan nadi perdagangan dalam negeri, denyut penggerak ekonomi negara.

“Oleh yang demikian, setiap inisiatif boleh menjadi medium kepada pemain industri untuk memberi semula kepada komuniti dalam bentuk tanggungjawab sosial di samping memperkasa jenama perniagaan mereka.

“Kementerian tidak akan bergerak sendiri sebaliknya sentiasa membuka pintu untuk menerima pendapat, saranan, cadangan, aduan dalam usaha menjaga kebajikan pengguna.

“Kita percaya kepada falsafah menang-menang di mana semua pengguna rakyat Malaysia dan pemain industri perdagangan dalam negeri dalam pelbagai sektor bersama-sama bergandingan dengan kementerian bagi menjayakan aspirasi ini,” katanya sambil menambah membuka peluang kepada pengguna di Malaysia menggunakan talian WhatsApp 019-2794317 bagi tujuan tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan) melihat bawang besar yang dijual dengan harga RM1.99 sekilogram pada Majlis Pelancaran Fiesta Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara di Tasik Darulaman Park, Bandar Darulaman di Jitra, Kedah pada 21 September lalu. Foto Bernama

Selain itu, KPDNHEP turut menyediakan pelbagai mobile apps dan sistem dalam talian seperti  saluran aduan eAduan, pemfailan tuntutan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna dan paparan harga barangan harian aplikasi PriceCatcher.

Muez bagaimanapun berkata, semua kecanggihan tersebut tidak memberi makna sekiranya pengguna tidak memanfaatkan penggunaannya.

“Saya juga telah arahkan dan menaruh keyakinan penuh kepada pejabat cawangan dan negeri KPDNHEP di seluruh Malaysia yang bersedia dengan pintu terbuka menerima aduan dan juga cadangan anda.

“KPDNHEP dan pengguna bagai aur dengan tebing, tiada jurang yang memisahkan kementerian ini dengan rakyat Malaysia,” katanya merujuk kepada Gerakan Kawalan Bekalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mempunyai kuasa mengawal selia barang kawalan contohnya seperti tepung gandum, gula, minyak masak. 

Artikel Lain