ISU mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri sudah lama diperkatakan. Menjadi teka-teka sejak sekian lama, Tun Dr Mahathir Mohammad akhirnya memberi kata putus mengenai hal itu menerusi wawancara terbaharu bersama Reuters. Kata Dr Mahathir, dia berjanji untuk menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kuala Lumpur yang bakal berlangsung November tahun depan. Tambahnya lagi, penyerahan kuasa itu akan dilaksanakan meskipun berlaku dakwaan salah laku terbaharu membabitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu. "Saya berjanji menyerahkan kuasa dan saya akan kotakannya tetapi saya rasa perubahan segera sebelum sidang APEC akan menimbulkan gangguan. "Setakat yang saya tahu, saya berundur dan menyerahkan kuasa kepadanya. Jika rakyat tidak mahu dia, itu hal mereka tetapi saya akan kotakan janji saya. "Tidak kira apa tuduhannya, saya sudah berjanji, saya akan kotakan janji saya," katanya. Ketika ditanya sama ada peralihan kuasa itu berlaku pada Disember 2020, Perdana Menteri bagaimanapun meminta supaya tunggu dan lihat sahaja apabila tiba masanya. Berdasarkan perjanjian dalam Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Dr Mahathir memberitahu akan melantik Anwar sebagai penggantinya dan perkara itu sering diulang beliau dalam mana-mana sidang akhbar sebelum ini. - Sinar Harian.