suria

Kes Altantuya: Polis teliti akuan berkanun Azilah dakwa dapat arahan bunuh daripada Najib

Altantuya Sharibuu.

POLIS akan meneliti kesahihan akuan berkanun (SD) bekas komando polis, Azilah Hadri sebelum melakukan tindakan lanjut, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata, polis masih belum melihat akuan berkanun itu.

"Oleh itu, kita perlu meneliti kesahihannya.

"Kita akan membuat keputusan mengenai tindakan selanjutnya selepas akuan berkanun itu telah diperiksa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.

Dilaporkan Azilah menerusi akuan berkanunnya mendakwa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi arahan untuk membunuh model warga Mongolia, Altantuya Sharibuu.

Bekas ketua inspektor itu mendakwa Najib, yang juga timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan ketika itu pada 2006, berjumpa dengannya dan mengarahkannya untuk menembak mati Altantuya kerana dia merupakan 'pengintip asing berbahaya'. 

Azilah berkata demikian dalam satu dakwaan mengejutkan yang difailkan menerusi akuan berkanun berserta permohonannya terhadap Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula keputusan yang dijatuhi ke atasnya, dan bekas anggota polis komando, Koperal Sirul Azhar Umar pada 2001.

Akuan berkanun itu yang pertama kali didedahkan oleh Malaysiakini, difailkan pada 17 Oktober sebagai sebahagian daripada permohonannya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan. - The Star

Artikel Lain