suria

Kes Altantuya: Najib lafaz sumpah laknat

Najib melafazkan Sumpah Muhabalah di Masjid Jamek Kampong Bharu. Foto AZMAN GHANI/The Star

BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melafazkan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampong Bharu di Kuala Lumpur bagi menafikan dakwaan beliau mengeluarkan arahan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Najib melafazkan sumpah itu selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan pada Jumaat sambil disaksikan lebih 1,000 jemaah.

"Pada hari ini 20 Disember 2019, bersamaan 23 Rabiul Akhir 1441 H, di dalam rumah ALLAH SWT yang mulia ini dan Jumaat yang berkat ini, saya Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dengan ini sesungguhnya, dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, berikrar dan bersumpah seperti berikut.

"A'uzubillahi minas syaitonirojim.. Bismillahirahmanirahim.. Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

"Alhamdulillah, sejak saya memasuki usia taklif hingga ke saat ini, saya tidak pernah mengarahkan mana-mana individu untuk membunuh seorang wanita warganegara Mongolia yang bernama Altantuya Shariibuu.

"Saya juga tidak pernah berjumpa atau mengenali mendiang sekali. Jika saya berdusta, maka laknat ALLAH SWT atas diri saya dan jika saya benar, maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh ALLAH SWT di dunia dan akhirat," lafaznya.

Menurutnya, beliau memahami implikasi terhadap Sumpah Muhabalah yang dilakukan itu.

"Saya berdiri atas kebenaran. Saya cuma takut pada ALLAH SWT maka dengan penuh rela hati mengambil keputusan untuk melafazkan sumpah muhabalah (sumpah laknat)," katanya.

Pada 16 Disember lalu, sebuah portal berita mendedahkan Akuan Bersumpah (SD) dibuat bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Azilah Hadri yang mendakwa Najib memberikan arahan untuk membunuh Altantuya.

Azilah yang kini berada di Penjara Kajang menanti hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.

Azilah mendakwa mendapat arahan untuk ‘tembak dan bunuh’ (shoot to kill) secara terus daripada Najib yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri.

Najib menafikan dengan menjelaskan dakwaan tersebut sebagai satu cerita rekaan terdesak untuk melepaskan diri daripada hukuman mati. - Sinar Harian



Artikel Lain