suria

“Tak sangka dapat naik…” - 60 anak yatim gembira, bersyukur dibawa menaiki pesawat ringan

Rata-rata mereka teruja apabila melihat pemandangan daripada ketinggian 1,000 kaki di langit. FOTO: BERNAMA.

PELUANG ‘terbang’ tinggi di awan biru untuk melihat pemandangan jauh dari ‘atas’ menjadi impian semua orang khususnya kanak-kanak.

Bagi 60 kanak-kanak dari Rumah Kebajikan Al-Zaraffee dan Rumah Kebajikan Baitul Maghrifah, Johor Bahru, ia ibarat rezeki datang bergolek apabila dibawa menaiki pesawat ringan jenis Piper, dari Lapangan Terbang Antabangsa Senai, di sini.

Rata-rata mereka teruja apabila melihat pemandangan daripada ketinggian 1,000 kaki di langit selama kira-kira 20 minit menerusi program ‘FRAS Christmas Charity Flight’ anjuran Kelab Penerbangan FRAS yang berpengkalan di Senai, di sini.

Umairah Insyira Khairul Asmawi, 10, dari Rumah Kebajikan Al-Zaraffee ketika ditemui pemberita berkata beliau sangat teruja menaiki pesawat itu dan menganggapnya sebagai kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

"Sebelum ini, saya hanya melihat kapal terbang di atas langit sahaja. Setiap kali melihatnya, saya memang teringin hendak naik dan hari ini saya tak sangka dapat naik…rasa gembira sangat,” katanya sambil mengakui berasa sedikit takut walaupun seronok.

Mohd Nabil Mohd Zamzani, 10, dari rumah kebajikan sama berkata dia bersyukur berpeluang menaiki pesawat terbabit bersama abangnya, Mohd Afiq Mohd Zamzani, 11.

Mohd Nabil berkata sebelum ini beliau pernah meminta ibunya untuk membawanya menaiki kapal terbang, namun, belum berkesempatan sehingga kini.

"Selama ini, saya hanya melihat kapal terbang di televisyen sahaja dan hari ini saya tidak sangka impian saya hendak ‘terbang tinggi’ menjadi kenyataan.

"Memang pada mulanya saya berasa takut, namun, kemudian seronok melihat awan biru," katanya yang menghuni Rumah Kebajikan Al-Zaraffee sejak dua tahun lepas.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi FRAS, Mej Jen Datuk Gopal Ramdas berkata program ‘FRAS Christmas Charity Flight’ merupakan program amal yang juga program khidmat sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Beliau berkata program berkenaan bertujuan memupuk minat golongan kanak-kanak untuk mendekati kapal terbang dan berkecimpung dalam bidang penerbangan pada masa hadapan.

Menurutnya, FRAS juga mengadakan ‘Young Aviators Programme’ setiap tahun secara berperingkat yang mendedahkan pengetahuan asas berkaitan penerbangan.

"Sudah menjadi pengalaman dan kebiasaan, kanak-kanak lelaki bergelar juruterbang dan didedahkan dengan dunia penerbangan tetapi pada zaman moden ini, kanak-kanak perempuan juga sudah dan perlu diberi kesempatan yang sama dalam bidang berkenaan.

“Tiada halangan daripada segi jantina untuk menyertai dunia penerbangan ini dan semua individu mampu menyertainya. Untuk tahun hadapan, kami menyasarkan 120 kanak-kanak mengikuti FRAS Young Aviators Programme bagi sesuatu sesi dan terdapat yuran pendaftaran ditetapkan,” katanya dengan menambah FRAS yang ditubuhkan pada 1997 memiliki enam juruterbang dan tiga tenaga pengajar.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi FRAS, Datuk Abdul Karim Alavi dan Pengarah Urusan FRAS, Kapten Ranjit Singh. - BERNAMA

Artikel Lain