suria

2 nelayan terkandas hampir 24 jam di tengah laut, bateri telefon tinggal 2 peratus - “Kami lambai beberapa bot namun mereka tidak nampak”

Keadaan bot yang dinaiki dua beradik itu. FOTO: Sinar Harian.

NASIB malang menimpa dua nelayan dari Kampung Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu apabila mereka terperangkap hampir 24 jam di tengah laut.

Ahmad Zulhisham Mohamed, 43, dan adiknya, Ahmad Tarmizi Mohamed, 39, berhadapan detik cemas itu selepas enjin bot dinaiki mereka mengalami kerosakan.

Kata Ahmad Zulhisham, enjin bot yang rosak pada jam 6 pagi itu gagal dibaiki.

Lebih malang, bateri telefon miliknya hanya tinggal dua peratus sahaja.

"Waktu tu kami cuba baiki sendiri enjin bot malangnya gagal. Enjin bot tidak berjaya dihidupkan.

"Dalam tengah hari isteri saya ada telefon, walaupun bateri hanya tinggal dua peratus saya sempat beritahu enjin bot rosak dan sedang cuba baiki sendiri.

"Mujurlah saya sempat bercakap dengan isteri saya dan beritahu dia apa yang terjadi," katanya.

Tambah Ahmad Zulhisham lagi, mereka berdua tidak membawa bekalan makanan kerana tidak menyangka sama sekali ditimpa kejadian sebegitu.

Malah, ia merupakan kejadian pertama seumpamanya sepanjang dia menjadi nelayan.

Ahmad Zulhisham (kiri) bersama adiknya, Ahmad Tarmizi.

"Lebih mencemaskan ketika enjin bot sedang dibaiki ombak kuat menolak bot ke tengah laut. Masa tu hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan kami berdua," katanya.

Ahmad Zulhisham berkata, ketika berada di laut, dia ada ternampak sebuah bot dari jarak jauh dan cuba melambai malangnya tidak disedari.

"Kami cuba juga lambai beberapa bot yang berada pada jarak jauh, namun mereka tidak nampak.

"Mujurlah jam 4.30 pagi keesokan harinya, ada sebuah bot sampai ke lokasi kami. Syukur sangat sebab ada yang berjaya menjejaki dan dapat menyelamatkan kami," katanya.

Walaupun masih trauma dengan kejadian menimpa, dia tidak serik untuk turun ke laut.

"Trauma dan takut memang ada tapi saya tak akan serik untuk turun ke laut sebab itu adalah punca pendapatan utama," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, dia menerima berita kejadian menimpa dua nelayan itu jam 11 malam sebelum meminta sebuah bot diketuai Dzulkifli Mohd Nor bersama empat kru untuk membantu mangsa.

"Alhamdulillah bot itu berjaya ditemui dan selamat tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemaman jam 6 pagi, Jumaat lalu," katanya. - SINAR HARIAN.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain